JAM Melaka sokong tubuh CDERT Keluarga Malaysia

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH:
Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka menyokong penuh penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CDERT) Keluarga Malaysia, kata pengarahnya, Abdul Wahab Taib.

Menurut beliau penubuhan CDERT akan membentuk satu komuniti yang kukuh untuk membolehkan semua pihak bekerjasama menggembleng tenaga di peringkat masyarakat setempat.

“Jadi orang ramai tidak akan hanya mengharap kepada agensi-agensi penyelamat semata-mata ketika mula berlaku bencana.

- Advertisement -

“Memang sewajarnya kita dalam kalangan komuniti yang terlebih dahulu bertindak apabila mula berlaku bencana di tempat-tempat yang terjejas,” ujar beliau.

Abdul Wahab Taib

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas program Pelancaran Penubuhan CDERT Keluarga Malaysia oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin di Menara Penyelamat Pantai Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Turut hadir di dalam program itu ialah Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah yang juga Mejar Bersekutu (PA), Nazri Ramli manakala Pegawai Daerah Alor Gajah diwakili oleh Penghulu Baharuddin Rashid.

Mengulas tentang misi bantuan banjir JAM di Melaka, Abdul Wahab berkata jabatan itu telah memberikan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa banjir bagi mengemas dan membersihkan rumah yang dilanda banjir di Lubok China.

Tambah beliau lagi selain misi bantuan di negeri ini, JAM Melaka turut menghantar misi bantuan ke negeri-negeri lain yang terjejas.

“Alhamdulillah semalam (Khamis) kami telah bermesyuat untuk menghantar bantuan ke negeri-negeri lain yang terjejas banjir. Kami JAM Melaka diarahkan untuk membantu Selangor.

“Insya-Allah hari ini (Jumaat) anggota-anggota kami akan bergerak ke Kuala Selangor dengan kekuatan seramai 30 orang anggota,” ujarnya lagi.

Penjelasan tentang program CDERT telah dibuat oleh Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

CDERT yang merupakan sebuah program di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyasarkan orang awam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk dilatih bagi menjadi pasukan tindakan awal sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -