‘Korek’ tabung parti bantu segera mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto ABU ANAS

MASJID TANAH:
Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya (HTJ), Ramli Dalip berkata, PAS Kawasannya menggunakan dana tabung parti untuk memberi sumbangan segera kepada mangsa banjir di Lubok China.

“Kita ada buat juga kutipan dana tetapi ia dalam proses dan mungkin memakan masa. Jadi kita buat keputusan guna dana parti sedia ada bagi tujuan kebajikan untuk membantu mereka.

“Sumbangan ini dalam bentuk keperluan asas seperti tuala mandi, ubat dan berus gigi, telekung, sajadah dan lain-lain lagi,” ujarnya.

- Advertisement -

Menurut beliau sebanyak 50 set barangan tersebut disediakan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Lubok China ini.

“Insya-Allah akan ada lagi sumbangan lepas ni mungkin dalam bentuk pakaian dan keperluan lain yang digerakkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Hang Tuah Jaya.

Ramli Dalip

“Jika ada apa-apa keperluan kita minta daripada pihak PAS Kawasan Masjid Tanah bagitahu kami apa yang diperlukan. Insya-Allah kami akan hantar sumbangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika mengedarkan kit sumbangan ke beberapa buah rumah yang terjejas banjir di Taman Wira Mas, di sini, petang semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya-1 dan 2 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan HTJ, Ustazah Norizah Jaafar.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Melaka, Muhamat Puhat Bedol yang turut sama dalam program itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu pihaknya dalam menggerakkan sumbangan untuk mangsa banjir.

“Semoga apa yang kita lakukan ini Allah SWT pandang sebagai satu rahmat dan insya-Allah kita mohon sama-sama agar mangsa yang terkesan dengan bencana banjir ini diberi kesabaran dan Allah SWT turunkan rasa ketabahan yang lebih besar.

“Dan semoga mereka memahami bahawa setiap yang ditarik oleh Allah SWT itu akan digantikan dengan yang lebih baik, insya-Allah. Sama-sama kita doakan mereka lebih kuat,” ujar Puhat yang juga Timbalan YDP PAS HTJ. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -