Mantap gerak kerja parti melalui majlis silaturrahim

TASEK GELUGOR: PAS Kawasan Tasek Gelugor telah menganjurkan majlis silaturahim yang melibatkan seluruh ahli jawatankuasa di semua peringkat, kelmarin.

Majlis yang diadakan di Markas Tarbiah PAS Pongsu Seribu itu bertujuan merapatkan ukhuwwah pimpinan PAS kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak serta seluruh cawangan Tasek Gelugor.

Advertisement

Program itu juga bertujuan memantapkan gerak kerja PAS terutamanya di kawasan Tasek Gelugor di samping dapat memastikan adanya kesepakatan antara kawasan, dewan-dewan dan cawangan.

Turut hadir dalam program itu ialah Yang Dipertua PAS kawasan, Sobri Salleh dan ADUN Pantai Merdeka, Ustaz Ahmad Fadzli Hashim.

Ahmad Fadzli ketika berucap berkata, pimpinan kawasan dan cawangan dalam melakukan kerja mestilah menonjolkan nama PAS dengan slogan ‘Memasyarakatkan PAS’, serta menyerahkan pemilihan kerusi yang bertanding dalam pilihan raya umum kepada keputusan Majlis Syura Ulamak dan AJK PAS Pusat.

“Ahli PAS juga perlu tahu dan menguasai ilmu dunia dan akhirat,” ujarnya.

Sobri pula berkata, program itu amat baik jika dilaksanakan secara berterusan agar persefahaman antara pimpinan kawasan sehingga ke cawangan dapat dimantapkan dan gerak kerja dapat diselaraskan serta mengoptimumkan amal jamaei. – HARAKAHDAILY 23/12/2021