Majlis Agama Islam Perlis solidariti mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan sumbangan bernilai RM300,000 kepada mangsa banjir di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Sumbangan itu disalurkan melalui agensi dan NGO menjayakan misi bantuan tersebut bersama MAIPs sejak 19 Disember lalu.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, bantuan berkenaan sebahagian daripada peruntukan awal disediakan agensi terbabit.

Katanya misi tersebut diadakan dengan kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang terlibat.

“Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir.

“Baginda berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi kekuatan dan semangat kepada mereka, selaras dengan hasrat solidariti agensi mengurus zakat di seluruh negara,” katanya di sini.

Misi tersebut juga melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Negeri Perlis (PVAC) serta beberapa NGO.

Tambah menarik lagi kata beliau, misi tersebut juga akan turut melibatkan penyertaan Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -