Bantuan banjir perlu diselaras elak berlaku lambakan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pengalaman banjir besar di Kelantan pada 2014 menjadi pengajaran bagaimana bantuan kepada mangsa terjejas perlu diuruskan dengan sebaik mungkin supaya tidak berlaku lambakan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan menetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai penyelaras terhadap semua bantuan diberikan.

Katanya, pasca banjir di Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan kini memerlukan bantuan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan sumbangan tenaga.

- Advertisement -

“Dalam penyelarasan bantuan NADMA diberikan tanggungjawab untuk melakukan penyusunan supaya menyelaras bantuan yang patut diberi sekarang lebih kepada kerja-kerja mencuci sahaja.

“Kita minta NADMA dan agensi yang khusus menyelaras bantuan agar tidak berlaku lambakan bantuan akhirnya diletak di tempat yang tidak munasabah seperti berlaku di Kelantan pada 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz kali ke-11 (2020) Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail.

Pada majlis itu seramai 193 pelajar sekolah agama YIK menerima hadiah kerana berjaya menamatkan pengajian hafazan al Quran sebanyak 30 juzuk.

Menteri Besar juga berkata, anak-anak kita berjaya menghafal al Quran merupakan duta kerajaan negeri bagi menjadi kilang modal insan pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -