RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 Perjanjian Malaysia lulus dua pertiga

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti lebih dua pertiga.

Seramai 49 ahli Dewan Negara menyokong dan tiada yang tidak menyokong. Lima ahli pula tidak hadir.

- Advertisement -

Sebelum ini di peringkat Dewan Rakyat, RUU ini juga diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga, iaitu seramai 199 ahli Dewan Rakyat menyokong dan seramai 21 orang tidak hadir.

Kedua-dua pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang menyatakan bahawa RUU ini dapat mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah.

Katanya, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 adalah pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan pindaan kepada empat perkara, iaitu pertama, peruntukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan; kedua, tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

“Ketiga, tafsiran baharu “Malaysia Day” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan keempat, peruntukan perenggan (a) Fasal (6) dan Fasal (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Junaidi berkata, pindaan Perlembagaan melalui RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 ini antara lain dapat memberikan manfaat yang dapat menjelaskan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pindaan ini turut memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini tiada rujukan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya pindaan ini memberi pengiktirafan kepada “Hari Malaysia” yang dimasukkan dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan, manakala pindaan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A dapat mengembalikan hak dan kebebasan kepada kerajaan Sarawak dalam menentukan definisi “ras asli”.

“Pentafsiran definisi “ras asli” selepas ini tidak lagi tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan tetapi ditentukan oleh kerajaan Sarawak melalui undang-undang negeri,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa sebanyak 15 sesi libat urus dilakukan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan Sabah dan Sarawak, serta ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, sokongan semua parti adalah penting bagi merealisasikan pindaan ini memandangkan pindaan ini memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan. – HARAKAHDAILY 23/12/21

- Advertisement -