Pesaka Terengganu hantar sukarelawan bantu mangsa banjir

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu akan menghantar sukarelawan terdiri daripada ahli-ahli dan persatuan gabungan di bawahnya bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terkesan dengan bencana itu.

Yang Dipertua Pesaka Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berpendapat, sebagai sebuah persatuan silat tidak sepatutnya berlegar dalam ‘kepompong’ dan bergiat aktif di kalangan persatuan itu sahaja.

“Saya berharap NGO (badan bukan kerajaan) kita atas nama Pesaka ini, kita mempunyai 22 ahli badan gabungan antara 3,000 hingga 4,000 ahli kita juga seharusnya merancang bagi membantu mereka yang ditimpa kesusahan sebagaimana yang sedang dialami sekarang ini.

- Advertisement -

“Ini penting kerana kita tidak mahu pertubuhan seni silat hanya bergerak dalam kepompong kita sahaja tapi dalam masa yang sama, kita juga harus terlibat dari segi penglibatan dalam masyarakat dengan kerja-kerja sosial,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Karnival Silat Anak Melayu 2021 di Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu, semalam.

Justeru itu, beliau menyeru agar ahli-ahli seni silat yang terlibat dalam dunia silat ini tidak hanya menumpu pada satu aspek tertentu sahaja.

“Penglibatan dalam seni silat ini walaupun kita (ahli) mempunyai kemahiran dan juga penguasaan tetapi kita tak boleh hanya sekadar tertumpu dalam perkara itu sahaja.

“Mudah-mudahan apabila terlibat dalam perkara ini, pertubuhan kita (Pesaka) akan dilihat sebagai NGO yang lebih bertanggungjawab, akan dilihat cita-cita murni ini bukan sekadar melatih pesilat-pesilat tetapi kita ada tanggungjawab kepada masyarakat, negeri dan negara,” jelasnya.

Tambah beliau, keterlibatan ahli-ahli dengan seni silat bukan sekadar untuk mendabik dada bahawa seseorang itu pandai bersilat.

“Itu bukan matlamat tetapi kita mahu generasi muda ada kemahiran, mempunyai suatu usaha untuk jadikan sebahagian daripada sahsiah. Kita juga mempunyai tanggungjawab kita kepada masyarakat.

“Kita perlu ada satu prinsip keseimbangan dan apabila ada keseimbangan, anggota masyarakat yang ditimpa musibah seperti suasana sekarang, ramai kalangan rakyat negara kita terutama di Selangor dan Pahang yang ditimpa musibah banjir besar di luar jangkaan ini, mereka sangat memerlukan bantuan serta sumbangan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur kerana menyediakan pelbagai program berbentuk pendidikan kepada masyarakat dengan mengadakan bengkel tanjak, pameran keris, sukan rakyat dan lain-lain.

Kata Yahaya, turut membantu adalah golongan peniaga yang memulakan kembali perniagaan sebelum ini terjejas dan terkesan dengan pandemik Covid-19. – TRDI.my

- Advertisement -