RM6 juta diperuntuk kepada mangsa banjir – Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi-agensi di bawahnya telah menggerakkan pasukan Skuad Musa’adah Agensi Agama untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, skuad itu sedang bergerak untuk berkhidmat di semua kawasan yang terjejas di seluruh negeri-negeri yang terlibat dalam bencana itu.

Beliau berkata, setakat ini, sejumlah RM6,033,280 telah diperuntukkan kepada mangsa terlibat dalam tragedi yang begitu menyedihkan itu.

- Advertisement -

Jelasnya, jumlah yang telah diperuntukkan oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM550,000, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (RM1,633,280), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM1,000,000), Tabung Haji (RM1,600,000), Pusat Pungutan Zakat MAIWP (RM750,000) dan Yayasan Taqwa, MAIWP (RM500,000).

Katanya, semua bantuan itu disalurkan dalam pelbagai bentuk sumbangan iaitu barangan asas dan keperluan segera, kit-kit ibadah, bekalan makanan kering dan basah, FoodBank dan makanan siap, penempatan tinggal sementara dan pelbagai lagi.

“Saya berharap bantuan yang telah diperuntukkan ini dapat membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh semua yang terlibat dalam tragedi ini, dan saya akan terus pastikan bantuan ini segera sampai kepada yang memerlukan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, dari semasa ke semasa, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melaporkan perkembangan semasa bantuan kepada mangsa banjir yang amat terkesan ketika ini. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -