ADUN Chenor gerak bantuan kepada mangsa banjir

- Advertisement -

MARAN: Keadaan hujan berterusan selama tiga hari telah menyebabkan paras air anak Sungai Jengka naik dengan mendadak dan mendatangkan kebimbangan kepada penduduk Kampung Bukit Lada, di sini.

ADUN Chenor, Ustaz Mujiburrahman itu telah turun ke lokasi melihat sendiri keadaan tersebut termasuk persediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Lada, kelmarin.

- Advertisement -

Lawatan prihatin beliau itu juga telah turut disertai bersama oleh Penghulu Mukim Bukit Segumpal, Shaharil Afindi Ahmad dan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.

Ustaz Mujiburrahman turut melihat pembinaan laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara punca aliran air tidak lancar yang menyebabkan ada kediaman dinaiki air dan mengalami banjir lumpur di Kampung Kabut.

Turut ditinjau mereka adalah keadaan banjir kilat akibat limpahan air anak sungai berhampiran di Taman Awah Permai, di sini kelmarin.

“Saya akan ulangi gesaan supaya pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelesaikan segera masalah limpahan air anak sungai yang telah lama dialami sebahagian penduduk di sini, insyaAllah,” ujar Ustaz Mujiburrahman.

Beliau juga mengingatkan para penduduk untuk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berwajib dari masa ke masa berikutan tinjauannya turut mendapati paras air Sungai Pahang mula memasuki kawasan rendah.

Beliau dalam pada itu turut melawat dua keluarga mangsa banjir terdiri daripada sembilan ahli keluarga termasuk tiga kanak-kanak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mini Estate Machang Gelap, di sini semalam.

Dalam lawatannya ke PPS yang telah dibuka tiga hari lalu itu beliau bersama Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa berupa pek makanan.

“Keadaan air Sungai Pahang ketika ini dalam trend menaik secara perlahan dan saya mengingatkan semua penduduk sudah bersiap menerima arahan berpindah dari pihak berkuasa ke PPS yang disediakan” tegas beliau.

Beliau juga berkesempatan melawat PPS Jengka Enam di mana terdapat empat keluarga mangsa banjir dan turut menyumbangkan bantuan makanan basah dan kering kepada mereka.

Ustaz Ramli Awang dalam pada itu turut menyatakan bahawa pihaknya dengan rasmi telah membuka Bilik Gerakan Bantuan Banjir di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Maran di Kampung Embun, di sini semalam.

“Saya telah arahkan semua jentera bantuan PAS Kawasan yang diketuai oleh Khidmat Malaysia Maran dan Jabatan Amal bersiap-sedia dengan jentera mereka.

“Sejak semalam (kelmarin) mereka sudah mula bergerak membantu pemindahan penduduk di sekitar dan menyantuni mangsa di PPS Masjid Assyakirin Bandar Maran,” ujar beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, sebarang aduan berkenaan banjir boleh hubungi Bilik Gerakan Khidmat Malaysia Maran atau hubungi Pengarah Khidmat Malaysia Maran, Mohd Amin Rahim 011-39190689 atau Ketua Operasi Khidmat Malaysia Maran, Sahaludin Yaakub 013-9954680.

Orang ramai juga boleh terus menyumbang kepada Tabung Operasi Khidmat Maran ini menerusi akuan Tabung Kebajikan PAS Maran di Maybank 556057507142. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -