Angka kematian Taufan Rai cecah 208

- Advertisement -

MANILA: Angka kematian akibat taufan paling kuat melanda Filipina pada tahun ini telah meningkat kepada 208 orang menjadikannya salah satu ribut maut paling teruk melanda negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pihak polis Filipina pada Isnin (20 Dis) berkata, sekurang-kurangnya 239 orang cedera dan 52 hilang selepas Taufan Rai melanda wilayah selatan dan tengah kepulauan itu.

- Advertisement -

“Lebih 300,000 orang melarikan diri dari rumah dan pusat peranginan di tepi pantai ketika  Taufan Rai melanda Filipina pada Khamis (16 Dis) lalu,” ujar  sumber polis Filipina, lapor AFP.

Sementara, pihak Palang Merah Filipina telah melaporkan ‘kematian  beramai-ramai’  di kawasan pantai akibat taufan berkenaan.

Kawasan pulau percutian tepi pantai, Siargao selepas dilanda Taufan Rai. (FOTO The Guardian)

“Ribut itu merobek bumbung, menumbangkan pokok, menumbangkan tiang elektrik konkrit, menghancurkan rumah-rumah kayu dan merempuh kampung, mencetuskan senario setanding impak Taufan Super Haiyan pada 7 Nov 2013 yang telah meragut sekurang-kurangnya 1,200 nyawa,” kata sumber Palang Merah Filipina.

Salah satu lokasi yang mengalami impak paling teruk akibat Taufan Rai ialah di  pulau Bohol yang terkenal dengan kawasan pantainya yang dikenali sebagai, Bukit Coklat (Chocolate Hills), selain pulau percutian tepi pantai, Siargao.

“Sekurang-kurangnya 74 orang maut di Bohol akibat dilanda Taufan Rai,” kata Gabenor wilayah, Arthur Yap di halaman Facebook rasminya. – HARAKAHDAILY 20/12/21

- Advertisement -