Perbanyak rakan strategik dengan NGO

- Advertisement -

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

KUALA PILAH:
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS (LKKDMP) Malaysia, Dr ‘Uyun Ab Malek menyarankan agar PAS negeri dan kawasan memperbanyakkan rakan strategik daripada kalangan NGO supaya kebajikan masyarakat lebih terbela.

Beliau turut menekankan peri pentingnya meletakkan sepenuh pengharapan kepada bantuan Allah serta sama-sama sabar dan tabah menjalankan amanah yang digalas.

“Semangat kerjasama dan setia berbakti yang ada pada jentera parti dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan adalah sangat penting,” ujarnya pada majlis penyampaian 50 pek bakul makanan kepada LKK DMP Negeri Sembilan di Johol, kelmarin.

- Advertisement -

Majlis yang berlangsung di Markas PAS Terusan turut dihadiri Pengerusi As-Sabiqun negeri, Alias Tijad dan Yang Dipertua PAS kawasan, Kamaruddin Tahir.

Beliau turut menghargai inisiatif LKKDMP negeri sebagai negeri pertama yang melaksanakan program bersama Skuad Prihatin LKK DMPM bagi sesi 2021/2023.

Dr ‘Uyun dalam jelajah kebajikan bersama NGO MuslimCare meneruskan perjalanan untuk misi bantuan banjir di Sijangkang, Melaka dan kawasan-kawasan lain yang terjejas.

Pengerusi LKKDMP negeri, Rohayati Md Din menyifatkan program itu berjaya mencapai sasaran dan mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada DMPM dan NGO-NGO demi kebaikan masyarakat setempat.

“Kerjasama sebegini merupakan sesuatu yang baik untuk diteruskan pada masa akan datang, insya-Allah dapat memberi impak yang besar bagi membantu penduduk setempat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -