Idris lahir rasa hiba 10 maut dalam kemalangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad melahirkan rasa hiba susulan 10 orang meninggal dunia dalam kemalangan, malam tadi.

Kemalangan itu melibatkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala Shah Alam, malam tadi.

“Hiba hati saya mendengar khabar tragedi semalam yang mengorbankan 10 nyawa akibat kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan ringan dan sebuah treler besar,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, petang tadi.

- Advertisement -

Tambahnya, lebih mendukakan, antara mangsa yang meninggal adalah sembilan ahli keluarga yang meninggal serentak dalam sebuah kenderaan yang rosak di tepi jalan, telah mengalami kemalangan bersama lori treler tersebut.

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan antara mangsa yang meninggal adalah ahli PAS Kawasan Shah Alam, Puan Norul Naziah beserta keseluruhan anak-anaknya.

“Saya tidak boleh bayangkan ujian yang cukup besar yang sedang di lalui para ahli keluarga, terutama sekali suami kepada mangsa.

“Saya doakan agar mangsa yang telah pergi menghadap Ilahi, Allah redha dunia dan akhirat. Al Fatihah,” ujarnya lagi.

Bernama melaporkan, keluarga yang maut dalam kejadian pada tengah malam itu adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan Muhammad Raid Fathi Abd Razak; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; Muhammad Hidayat Hakimie, 7; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Puteri Hidayah, 12; Razatul Aliah, 16, dan Muhamad Razarul Amin, 17.

Kesemua mereka yang menaiki Proton Wira itu maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam.

Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, Klang.

Bapa kepada kanak-kanak dan remaja yang maut itu, Abd Razak Majit, 50, cedera ringan.

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah seorang mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27 tahun. – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -