Jumlah mangsa banjir di Kuala Krai meningkat

- Advertisement -

Oleh MIJIE YUSOF

KUALA KRAI:
Penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai perlu membuat persediaan awal berpindah memandang air Sungai Lebir semakin meningkat.

Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah berkata, biarpun hujan agak reda, namun hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan paras Sungai Lebir terus naik.

Oleh itu katanya penduduk yang tinggal di kawasan rendah perlu bersiap awal memandang waktu malam agak menyukarkan untuk berpindah.

- Advertisement -

“Di Kampung Manek Urai Lama dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu Madrasah Kampung Mesek sehingga jam 5.30 petang menempatkan seramai 20 orang berpindah.

“Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Manek Urai pula seramai 50 orang. Penduduk juga berpindah di Kampung Laloh, Sungai Sok dan Chuchuh Puteri,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir hari ini.

Hadir sama wakil ahli parlimen Kuala Krai, penghulu mukim dan anggota keselamatan.

Di Kota Bharu cuaca hari ini redup dengan hujan turun sekali sekala dengan diikuti tiupan angin agak kencang. Situasi itu agak berbeza berbanding semalam dan Khamis lepas hujan begitu lebat.

Di Gua Musang Pegawai Seranta Dun Paloh Azman Ahmad turut melawat mangsa-mangsa banjir termasuk di Chiku. Beliau turut menyampaikan bantuan kepada penduduk terlibat. – HARAKAHDAILY 18/12/2021