Ahli Majlis panjangkan aduan penduduk ke MPM

- Advertisement -

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah memasang penghadang keselamatan jalan raya susulan kejadian tanah mendap dan berlubang sedalam satu meter yang berlaku di jalan di Taman Seti Penchalang, di sini kelmarin.

Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Rosli Abd Rahman terlebih dahulu telah mengadakan tinjauan ke lokasi tersebut setelah menerima aduan daripada penduduk untuk mengatasi masalah itu berikutan ia membahayakan pengguna jalan raya.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau telah memanjangkan perkara berkenaan kepada Majlis Perbandaran Manjung untuk tindakan awal di mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu telah memasang penghadang keselamatan sementara tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut berkata, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan pihak berkaitan dan dijangka masalah ini akan selesai sepenuhnya secepat mungkin. 

“Sebagai Ahli Majlis Manjung, insya-Allah saya akan terus mengambil pendekatan berbincang (dan) berusaha menyelesaikan masalah di kawasan ini demi keselamatan penduduk setempat dan keselesaan semua pihak,” ujarnya.

Wakil penduduk, Kamarul Majid berkata, beliau mewakili penduduk Taman Seri Penchalang menzahirkan kebimbangan atas permasalahan yang berlaku kerana ia boleh mengakibatkan berlaku kemalangan dan mendapan lubang bertambah besar.

Oleh itu jelasnya, tindakan pantas diambil Rosli amat wajar dilaksanakan sebagai langkah awal dan tindakan lanjut oleh pihak berwajib hendaklah segera diambil bagi memastikan ia selamat digunakan oleh semua pengguna jalan raya di situ. – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -