Chenor Nature Fun Ride santai dan sihat

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujiburrahman Ishak telah melakukan pelepasan 223 peserta berbasikal Chenor Nature Fun Ride yang berlangsung di Dataran Indera Pahlawan, Chenor, di sini pagi tadi.

- Advertisement -

Dalam ucapannya sebelum ‘flag off’ tersebut, para peserta telah diingatkan beliau untuk sentiasa menjaga keselamatan dengan mematuhi peraturan jalan raya semasa mengikuti aktiviti berbasikal tersebut. 

“Aktiviti berbasikal secara berkumpulan semakin diminati ramai ketika ini, dan mengharapkan dapat meningkatkan ukhwah dan kesihatan bagi peserta itu sendiri,” ulas beliau kepada pemberita mengenai penganjuran oleh Sekretariat ADUN Chenor itu.

Turut hadir adalah ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakwan Ahmad Badarddin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Maran, DSP Mohammed Rasul Mohammed serta Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.

Pengarah Chenor Nature Fun Ride, Mohd Zakuan Johan memberitahu, program ini juga turut menambat hati ramai peminat kayuhan berbasikal apabila ia turut menerima pendaftaran peserta dari luar kawasan Chenor. 

Beliau menyatakan, jarak kayuhan yang bermula dari Dataran Indera Pahlawan Chenor ke Kampung Sekara dan Bukit Kertau itu terpaksa dipendekkan kepada 30 kilometer sahaja memandang keadaan di beberapa jalan yang tidak sesuai akibat hujan berterusan beberapa hari ini. 

Menurut beliau lagi, program ini adalah bertujuan menjalinkan hubungan baik antara pemimpin setempat dengan masyarakat di samping menyahut seruan kerajaan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat. 

Mohd Zakuan turut memaklumkan pada tahun lalu pihak Sekretariat ADUN Chenor telah berjaya menganjurkan program Kayuhan Merdeka 2020 dan pihaknya merancang lagi program tersebut pada tahun 2022 nanti. – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -