Wujud pusat khidmat tangani masalah penduduk

- Advertisement -

BATANG LUPAR: Komitmen PAS di Beting Maro mewujudkan Pusat Khidmat Masyarakat untuk memudahkan penduduk tempatan mengadu masalah atau memohon bantuan.

Selain itu memberi tumpuan pembangunan pendidikan bagi melahirkan modal insan yang integriti tinggi pada masa hadapan.

Calon PAS Dun Beting Maro Arifiriazul Paijo berkata, di Beting Maro sudah ada sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) An Naim di Pusa.

“Kami akan berusaha menambah lagi jumlah pusat pendidikan selaras dengan keperluan penduduk tempatan,” katanya di sini semalam.

- Advertisement -

Arif dan petugas Pilihan Raya PAS Sarawak terus mempergiatkan kempen yang berbaki sehari lagi, sebelum hari pengundian Sabtu ini.

Sementara itu petang semalam pada majlis lain Pemuda PAS Batang Lupar mengadakan ziarah ke Kampung Bunian, Spinang bagi menghadiri majlis doa selamat dan sumbangan kepada mangsa Covid-19.

Majlis doa selamat itu diketuai Ketua Pemuda PAS Batang Lupar Ustaz Atta Mostapha. Pada majlis terbabit beliau turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa Covid-19.

Manakala di majlis lain Pemuda PAS Sarawak menyampaikan jersey bola sepak kepada anak-anak muda di Kampung Semarang.

Serahan tersebut diwakili Ketua Pemuda PAS Cawangan Kampung Semarang Mohd Yusuf.

Arif juga berkata, golongan belia hendaklah memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah termasuk acara sukan.

Menurutnya juga fasiliti sukan dan kemudahan riadah perlu disediakan kerajaan bagi membolehkan golongan belia dapat bersukan dengan lebih sempurna.

“Program-program belia dan kesukanan penting sebagai mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah, di samping dapat mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -