Pacu prestasi industri makanan, jadi pengeksport utama

Pembangunan, pemodenan dan penggunaan teknologi tingkatkan pengeluaran hasil

- Advertisement -

IPOH: Prestasi industri makanan negeri melibatkan pengeluaran hasil pertanian, perikanan dan penternakan telah merekodkan nilai yang tinggi dan menjadikan Perak sebagai pengeksport utama negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria memberitahu, bagi tahun 2020 direkodkan sejumlah 582 metrik tan hasil pertanian dieksport dengan nilai RM24.6juta. 

- Advertisement -

“Durian, limau dan salad direkodkan sebagai hasil eksport utama negeri Perak. Di antara negara pengimport utama adalah Dubai, Kesatuan Eropah (EU), London, China, Jepun, Australia, United Emirates, United State, Amerika dan juga New Zealand. 

“Bagi tahun 2021 sehingga Oktober 2021, pengeluaran ikan makan negeri Perak telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 49,465 metrik tan dan sasaran pengeluaran adalah 71,000 metrik tan sehingga hujung tahun. 

“Bagi sektor penternakan, perbandingan peningkatan pengeluaran agro-makanan melalui sektor penternakan bagi tahun 2021 dan 2022 insya-Allah akan dikeluarkan pada bulan Februari 2022. Ini adalah kerana tahun pengeluaran dikira sehingga 31 Disember 2021,” ujarnya.

Beliau membentang butiran tersebut sebagai menjawab soalan-soalan yang ditanya beberapa ADUN dalam Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Menurut beliau, kemampuan tersebut dilaksanakan menerusi program-program pembangunan, pemodenan dan penggunaan teknologi dalam meningkatkan hasil pengeluaran seterusnya menjayakan eksport. 

“Di antaranya adalah pembangunan industri asas tani berdasarkan penggunaan teknologi moden, Internet of thing (IOT), pertanian bandar atau pun urban farming, agropelancongan, program bantuan kursus khidmat nasihat kepakaran.

“Dan rundingan temu sua dengan petani-petani, bantuan pemasaran tempatan dan eksport melalui kerjasama dengan pihak pemborong dan pengilang seperti Tesco, Lotus atau pun AEON,” terang beliau.

Terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, bagi melonjakkan sektor penternakan kerajaan melaksanakan usaha membangun dan membuat pemulihan kepada semua tanah-tanah padang ragut di seluruh negeri. 

Kerajaan juga beritahunya, giat meningkatkan kualiti baka ternakan melalui kaedah permanian beradas untuk lembu tenusu dan lembu sado, manakala kambing pedaging dan tenusu, serta biri-biri dan rusa dengan mendapatkan baka bermutu luar negara. 

Di samping itu katanya, kerajaan giat melaksanakan usaha kawalan penyakit ternakan melalui saringan, sementara Ladang Infoternak juga dijadikan sebagai pusat latihan dan informasi maklumat ternakan kepada penternak di seluruh negeri. 

Bagi sektor perikanan pula maklumnya, dilakukan projek kebun kerang Lekir dan sehingga kini mengeluarkan 99.94 metrik tan kerang dan mewujudkan kluster ternakan kerang di Daerah Bagan Datuk, Larut Matang dan Kerian.

“Projek perikanan bandar dengan membangunkan kawasan-kawasan bekas lombong di sekitar Daerah Kinta dan Kampar. Sehingga Oktober 2021 berjaya mengeluarkan 60.83 metrik tan.

“Tempat memperluaskan industri ternakan ikan air tawar dalam sangkar di sepanjang Sungai Perak dan Tasik Buatan Chenderoh dan Temenggor. Pengusaha ikan sangkar juga dibantu dengan memberi bantuan input pertanian seperti makanan ikan dan peralatan. 

“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi program permodenan West Vessel menepati piawaian Hygiene of Board Actual Be,” bentang beliau.

Razman memberitahu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia juga telah membantu nelayan memodenkan kaedah penangkapan melalui beberapa strategi. 

Iaitu perincinya, program dana nelayan dan usahawan perikanan, program pembinaan bot, program penangkapan ikan melalui persatuan nelayan, program permodenan nelayan pantai dan program subsidi minyak. 

Bagi kemudahan nelayan, kerajaan juga tambahnya lagi, telah membangunkan projek menaik taraf dan juga peningkatan infrastruktur kompleks pelabuhan perikanan serta pembinaan dan naik taraf jeti.

Termasuk juga kemuka beliau, bekalan kemudahan seperti kilang air batu, bilik sejuk, bekalan minyak, kilang memproses dan sebagainya disediakan untuk merancakkan industri perikanan. 

“Menyediakan kemudahan pemasaran melalui projek pembangunan hab pengumpulan dan pengedaran ikan pasar nelayan stok penimbal dan program ikan sejuk beku atau pun Q’Fish juga diadakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -