Dua empangan sabo dijangka siap Jun 2023

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

JERAI:
Projek pembinaan dua buah empangan sabo di kaki Gunung Jerai dijangka siap menjelang Jun 2023.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek yang menelan belanja RM22.8 juta itu akan dibina di kawasan rekreasi Titi Hayun dan Tupah.

Menurutnya, empangan yang pertama di Malaysia ini akan berfungsi sebagai penampan pergerakan kayu dan batuan besar ketika aliran air deras di kaki gunung terbabit.

- Advertisement -

“Selain itu projek empangan sabo ini juga melibatkan pembangunan sistem amaran aliran puing (debris flow) yang dikenali Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA), yang akan dibangunkan pada pertengahan 2022 akan datang,” jelas beliau pada sidang media di Titi Hayun, Yan, hari ini.

Katanya lagi, dengan adanya SABKA, ia dapat membantu memberi amaran awal kepada penduduk setempat apabila berlaku bencana seperti kepala air dan sebagainya dan secara tidak langsung, dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa.

Pada majlis itu, Tuan Ibrahim juga dibawa melawat tapak kawasan pusat rekreasi Titi Hayun selepas diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

Beliau juga melancarkan gimik penyerahan tapak projek binaan pada petang itu.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Norizan Khazali, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) KASA, Dr Ching Thoo dan Ketua Pengarah JPS Malaysia, Md Nasir Md Noh.

Selain itu majlis berkenaan turut disertai Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit dan Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -