Undi 18 berjaya jika anak muda minat politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Undi 18 akan berjaya jika golongan muda cenderung minat mereka terhadap politik, sekali gus memberikan peluang kepada PAS untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata Undi 18 hanya akan berjaya sekiranya golongan berkenaan keluar mengundi pada PRU akan datang.

- Advertisement -

Katanya ini kerana, meskipun keahlian mereka sebagai pengundi didaftarkan secara automatik, jika mereka tidak menunjukkan minat kepada politik, mereka tidak akan keluar mengundi.

“Kita sebagai pemimpin kerajaan atau pembangkang, ahli politik sewajarnya bekerjasama merentas parti untuk pastikan mereka minat kepada politik dengan kita menyajikan kepada mereka prinsip politik yang sebenar.

“Bukannya prinsip politik peribadi ataupun salah guna kuasa, rasuah seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya dalam Agenda Awani: Tujuh Dekad Perjuangan PAS, disiarkan secara langsung di Astro Awani, malam ini.

Menurut Khairil, disebabkan situasi demikian berlaku dalam politik negara, ia menjadi faktor utama golongan muda kecewa dan bosan dengan politik, akhirnya mereka membuat keputusan untuk tidak mengundi walaupun didaftarkan secara automatik.

Menurutnya lagi, PAS akan mengoptimumkan segala pendekatan antaranya melalui media sosial dalam usaha menarik minat anak muda menceburkan diri dalam bidang politik.

“Apa yang saya nampak untuk kita perjuangkan ialah untuk kita memposisikan anak-anak muda tidak kira daripada Muslimat PAS, Ulamak muda PAS, DHPP (Dewan Himpunan Pendukung PAS) muda dan Pemuda PAS.

“Kita perlu posisikan mereka ini yang ada kaliber, kompetensi, pengalaman kepada tempat-tempat tertentu sehinggalah mereka bertanding dalam pilihan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -