Blinken puji cara Malaysia kendalikan pandemik Covid-19

Foto daripada Facebook Saifuddin Abdullah.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony J. Blinken hari ini memuji kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan pandemik Covid-19 dan menghargai sumbangan negara kepada COVAX, sebuah inisiatif global untuk perkongsian vaksin.

Blinken berkata kerana kepimpinan dan kejayaan luar biasa itu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyumbang lebihan vaksin ke negara lain dan kepada COVAX.

- Advertisement -

“Ia bukti kepimpinan sebenar dan amat dihargai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ketika mesyuarat dua hala dengan Saifuddin, kedua-dua pihak menyentuh mengenai apa yang boleh dilakukan bersama untuk mengatasi cabaran semasa Covid-19 dan membuat persiapan lebih baik untuk menangani pandemik pada masa depan.

“Kita perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan sistem keselamatan kesihatan global. Jadi pada masa akan datang kita lebih berupaya untuk mencegah, mengesan dan mungkin menangani pandemik baharu dengan lebih berkesan,” katanya.

Blinken tiba di Kuala Lumpur pada Selasa malam untuk mengadakan lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

Beliau berkata AS sedang berusaha untuk melaksanakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada COVAX, supaya vaksin Covid-19 dapat diagihkan secara saksama.

“Menjelang 2022, AS menjangkakan untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin di seluruh dunia, kami mempunyai komitmen untuk bantu apa yang boleh bagi menutup jurang vaksinasi,” katanya.

Mengenai persoalan Malaysia dan AS bekerjasama dalam pembangunan dan pengedaran vaksin, Blinken berkata beliau dan Saifuddin telah bersetuju bahawa menghasilkan vaksin sahaja tidak mencukupi,  memastikan vaksin dapat diagihkan secara adil dan sama rata juga penting.

Beliau berkata terdapat pelbagai cabaran untuk mengagihkan vaksin di banyak negara di dunia, daripada aspek jarak, logistik sehinggalah kepada pengedaran.

Satu daripada cara untuk mengatasinya ialah dengan memastikan terdapat kapasiti pengeluaran vaksin di negara yang berbeza, sebagai contoh, di Malaysia.

Selain itu, AS berusaha mewujudkan dana antarabangsa bagi memastikan adanya sumber untuk digunakan pada masa depan apabila diperlukan, selain membolehkan langkah-langkah sewajarnya diambil untuk melindungi diri.

“Satu daripada masalah yang telah kita lihat apabila pandemik atau dilanda krisis, dunia akan kelam kabut atur langkah. Dan apabila krisis berakhir, kita leka, bila berlaku krisis baharu, kita perlu mula balik semua perkara dari awal.

“Jadi satu sebab untuk memiliki dana antarabangsa ini, bagi memastikan negara mempunyai keupayaan untuk mengharungi dan menyediakan perlindungan diperlukan jika berlaku pandemik lagi.

“Adalah sangat penting untuk kita bekerjasama, tetapi saya fikir Malaysia telah membuktikan caranya sendiri untuk membantu dunia menangani pandemik ini dan diharapkan dapat mencegah wabak lain,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata satu bidang kerjasama yang boleh dipertimbangkan dengan AS ialah pembangunan vaksin, mungkin melalui kolaborasi antara syarikat Malaysia dan AS yang mengeluarkan vaksin.

Beliau berkata Pharmaniaga Berhad boleh menumpukan kerjasama perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dalam menghasilkan vaksin. –  BERNAMA

- Advertisement -