Anak muda Beting Maro berani berubah

- Advertisement -

Oleh M FAQIH | FOTO KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KETIKA
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikatakan tidak bermasalah untuk mempertahankan kerajaan negeri, namun cabaran pilihan raya tetap muncul.

Isu tempatan dengan masalah jalan, bekalan air bersih dan liputan internet rendah tetap menjadi hambatan. Musim pilihan rayalah isu seperti itu muncul.

Menjadi hak kepada penduduk untuk mengungkitkan kembali janji lama yang terperap. Sekaranglah masa terbaik untuk rakyat membelek kembali janji-janji lama.

Ketika musim lain jarang pemimpin hiraukan. Lebih-lebih lagi calon yang bertanding. Kali ini mereka datang lagi membawa janji-janji baru. Namun pengundi kena belajar belek diari lama.

- Advertisement -

Tandakan mana-mana akujanji yang sudah jadi kenyataan. Kalau belum, pengundi kena belajar buat perhitungan baru. Situasi itu juga berlaku di Dun Beting Maro.

Janji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 pun banyak belum ditunaikan. Sekarang datang pula PRN ke-12. Sekiranya calon sekarang tokoh berbeza, mungkin dia agak selamat. Namun awas, kalau calon sama.

Di Beting Maro penduduk mendakwa janji lama belum nampak bayang. Antaranya di Kampung Batang Maro, Paloh janji untuk membina jalan raya lebih sempurna sudah lima tahun berlalu.

Jalan tidak berturap

Penduduk kampung tersebut yang mahu ke Pekan Pusa terpaksa melalui jalan tidak berturap. Jaraknya bukan pendek, sebaliknya sejauh 15 kilometer.

Cuba pembaca bayangkan. Sejauh 15 km melalui jalan dengan batu kerikil. Kalau menunggang motosikal perlu bawa tiub simpanan. Silap haribulan, tayar motosikal boleh bocor terpijak batu yang tajam.

Namun apa boleh buat. Itulah satu-satunya laluan alternatif yang ada. Selain itu boleh juga menggunakan bot untuk ke pekan Pusa. Namun pengangkutan itu semakin tidak sesuai lagi sekarang.

Jalan batu kerikil itu dikelilingi ladang kelapa sawit dan pokok bakau. Bagaimana agaknya kalau menunggang motosikal pada waktu malam. Tentunya bahaya menanti.

Situasi tersebut bukan sekadar omongan. Ramai penduduk tempatan sedia kongsi pengalaman. Antaranya Othman Julaihi, 65 yang tinggal di Batang Maro. Beliau memberitahu jalan tersebut tidak diturap sehingga sekarang.

“Ini jalan baharu, alternatif dari Batang Maro ke Pusa. Sudah lebih lima tahun kami guna jalan tersebut.

“Kami mohon supaya kerajaan baiki dan turap segera. Kami sudah lima tahun menunggu,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi.

Othman juga berkata, masalah lain yang membelenggu penduduk termasuk bekalan air bersih, kemudahan internet dan sistem perparitan tidak diselenggara.

5 penjuru

PRN kali ini Dun Beting Maro menyaksikan pertandingan lima penjuru. Razaili Gapor mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS). PAS pula diwakili Arifiriazul Paijo.

Selain itu Jacky Chiew Su Chee mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR) dan Safiudin Matsah (Bebas). Namun saingan sekarang ramai melihat antara Razaili dan Arif Paijo.

Razaili kali ketiga bertanding di Beting Maro. Dia pemimpin dikenali ramai. Tiada penduduk di Beting Maro tidak mengenalinya.

Namun, di Kampung Kalok ramai penduduk kurang mengenalinya. Penduduk mendakwa mereka sukar melihat kelibat wakil rakyat sebelum ini.

“Tidak pernah datang walaupun sudah dua penggal bergelar YB,” kata seorang penduduk. Penduduk di kampung terbabit juga berdepan masalah tebatan banjir.

Paling ketara ditemui isu kebajikan rakyat yang terabai. Isu tersebut sering diungkit penduduk tempatan. Datanglah sesiapa sahaja, isu itu mereka tidak segan kongsikan.

“Rata-rata penduduk mengenengahkan masalah tersebut. Beberapa rumah yang kami ziarah didapati begitu usang dan perlu dibaiki segera,” kata Arif Paijo.

Perkampungan itu agak sempit dan padat. Malangnya berdepan masalah tebatan banjir yang gagal diselesaikan sehingga sekarang. Ketika air pasang besar 6 Disember lepas kawasan berkenaan ditenggelami air laut.

Fenomena itu sudah kalih dialami penduduk. Kebanyakan rumah dibina bertiang tinggi. Arif merancang mengetegahkan isu tersebut kepada peringkat lebih tinggi.

Beliau sedia berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi menangani masalah tersebut. Inilah komitmen calon muda terbabit. Begitu juga isu kedaifan penduduk.

Mahu berubah

Hasil kesungguhan itu ramai anak muda menyuarakan mahu perubahan. Begitu penduduk veteran. Mereka tidak mahu Beting Maro masih di takuk lama.

Maka keberanian itu perlu diterjemahkan Sabtu ini. Biarpun mereka mengakui kerajaan GPS banyak jasa, namun terkilan dengan wakil rakyat sebelum ini.

Mereka luahkan isu tersebut pada setiap program dianjur PAS. Antaranya program servis motosikal percuma. Sehingga sekarang empat lokasi program itu dianjurkan. Kehadiran tidak kurang 200 anak muda di setiap lokasi.

Apakah itu isyarat awal. Setidak-tidaknya usaha melahirkan anak sulung PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak ada sinarnya. Usaha itu terbukti berjaya di Sabah. Biarpun dilantik, setidak-tidak ada wakil PAS di Dun Sabah.

Kali ini giliran Sarawak pula. Biarpun PAS dianggap kacau daun di Beting Maro, namun hubungan parti kompenan Perikatan Nasional (PN) tidak terjejas.

Ketika majlis pengisytiharan calon PAS di Kuching sebelum ini, kelihatan kelibat pemimpin kanan GPS di hotel sama. Ia memperlihatkan PAS tidak kacau daun, sebaliknya sekadar menawar khidmat bakti untuk penduduk di Beting Maro. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -