Cari penyelesaian agar kes buli tidak berulang

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berharap generasi hari ini bebas daripada perbuatan buli yang terkutuk dan meruntuhkan institusi masyarakat.

Menurutnya, kes buli semakin hari semakin parah dan menjadi perbualan hangat di media sosial dan dada-dada akhbar.

Terbaru, ujarnya negara digemparkan dengan satu kes melibatkan pelajar di sebuah sekolah maktab sains.

- Advertisement -

“Kes ini berlaku rentetan tindakan mangsa yang menasihati rakan-rakannya yang menonton video lucah agar menghentikan perbuatan tersebut, atau tindakan mereka akan dilaporkan kepada guru,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Dalam video yang dibuat secara live itu, dipaparkan bagaimana pelajar tersebut ditumbuk beramai-ramai secara bergilir-gilir sehingga cedera pada bahagian ulu hati.

Ini, katanya suatu perkara yang membimbangkan, memandangkan hal ini berlaku dalam kalangan anak muda seawal umur 13 tahun sementara pihak maktab telah mengambil tindakan dengan menamatkan pengajian mereka.

“Saya ingin menasihati semua bahawa kita tidak akan terlepas daripada segala perbuatan kita. Ingatlah bahawa umur kita masih berbaki dan penuhilah ia dengan amal kebaikan sebelum datangnya hari yang disebut dalam firman Allah SWT,” ujarnya.

AhIi Parlimen Pengkalan Chepa itu memetik firman Allah dalam surah Yaasin, ayat 65 yang bermaksud: “Pada hari ini Kami kunci mati ke atas mulut-mulut mereka, dan Kami jadikan tangan-tangan mereka berbicara, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka kerjakan dahulu”.

Beliau berkata, semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru, pihak sekolah serta kerajaan perlu mencari penyelesaian agar memastikan kes buli ini tidak berulang.

Tambahnya, tindakan tegas harus diambil bagi mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

“Semoga generasi hari ini bebas dari perbuatan buli yang terkutuk dan meruntuhkan institusi masyarakat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -