PAS tekad lahir Adun tunggal di Dun Sarawak

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

BATANG LUPAR:
Penglibatan PAS sejak pilihan raya tahun 2001 menjadi asas parti itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, keberadaan PAS di Sarawak bukan baharu, malah sudah bertapak sejak pilihan raya 2001 dan sehingga sekarang menyertai empat kali pilihan raya.

Katanya setiap kali PAS menyertai PRN Sarawak parti itu tidak pernah hilang wang deposit berbanding sesetengah parti lain.

- Advertisement -

“Ertinya kita telah ada undi asas di Dun Beting Maro. Jadi kami amat yakin kemampuan dan kewibawaan calon Dun Beting Maro untuk diangkat sebagai wakil rakyat tunggal di negeri ini.

“Insya-Allah, kita berazam untuk melahirkan wakil tunggal PAS di Dun Sarawak bagi membawa suara rakyat,” katanya ketika ditemui pada kempen di Pasar Majlis Daerah Betong Pusa di sini, hari ini.

Hadir sama calon PAS Dun berkenaan Mohamad Arifiziarul Paijo yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sarawak.

Menurutnya, calon PAS merupakan seorang anak muda yang berkelulusan tinggi sanggup menginfaqkan diri kepada masyarakat.

“Arif Paijo letak jawatan di syarikat minyak semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya yakin dan percaya, ia akan memberi satu tarikan baharu, dengan tageline Nafas Baru Untuk Beting Maro’.

“Penduduk Beting Maro peramah, murah dengan senyuman, mempunyai budi bahasa yang tinggi,” ujarnya.

Idris yang juga Menteri Hal Ehwal Agama berkata, sambutan yang diberi masyarakat terhadap calon PAS sangat baik.

Ditanya kerjasama dengan kerajaan Sarawak berkaitan hal ehwal agama, kata beliau PAS kekal sebagai pembangkang yang menyokong segala usaha yang baik.

Sementara itu difahamkan seramai 14 pegawai dan anggota polis di Balai Polis Beladin terbabit dengan pengundian awal PRN Sarawak hari ini. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -