Muafakat PAS-Umno di Perlis berjalan baik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, hubungan antara PAS dan Umno di negeri ini masih berjalan dengan baik.

Menurutnya, kerjasama antara dua parti menerusi Muafakat Nasional (MN) dapat terus dipertahankan dan kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami di peringkat negeri sememangnya mahu MN terus dipertahankan dan kekal, bukan senang PAS dan Umno ini hendak berbaik dan apabila sudah berbaik wajar dipertahankan.

- Advertisement -

“Bukan mudah untuk kedua-kedua parti ini bersatu selepas sekian lama bersengketa.

“Walau bagaimanapun sejauh mana MN boleh bertahan terserah kepada pusat dan jika boleh, kami di peringkat negeri ini diberi sedikit ruang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, di samping mempertahankan hubungan dengan Umno, kerjasama dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) juga sedang berjalan dengan baik.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Azlan Man sebelum ini berkata, muafakat antara dua parti itu akan tertakluk kepada kepimpinan tertinggi parti itu.

“Tidak timbul soal autonomi dalam hubungan MN kerana apa juga keputusan akhirnya tertakluk kepada kepemimpinan tertinggi parti.

“Bagaimanapun di peringkat pusat, tidak pernah menghalang mana-mana negeri untuk bekerjsama  dengan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -