Kontraktor diarah tampal jalan rosak tempoh 24 jam

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Jabatan Kerja Raya (JKR) mengarahkan syarikat konsesi untuk membaiki jalan negeri dan Persekutuan yang rosak dan berlubang ketika musim hujan dalam tempoh 24 jam.

Pengarah JKR Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail berkata, pihaknya sudah menjangka keadaan itu berlaku dan proses pemulihan jalan raya tidak boleh dibuat secara kekal.

Katanya, proses tersebut memerlukan suhu sesuai bagi memastikan sturktur serta ketahanan jalan raya dapat bertahan lebih lama dan memberi keselesaan pengguna.

- Advertisement -

“Baikpulih jalan tidak boleh buat secara kekal sebab kita tidak boleh hampar campuran tar pada waktu hujan kerana ada suhu tertentu agar boleh tahan lama.

“Jadi kita buat penampalan sementara. Inilah yang rakyat lihat tampal musim hujan tetapi kalau JKR tidak tampal rakyat akan bising kerana ia juga boleh mengundang risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siaran langsung di Facebook Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) hari ini.

Ir Mohd Suhaili juga berkata, JKR Kelantan sejak setahun lalu menjalinkan kerjasama dengan syarikat utiliti seperti Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berkongsi koridor bersama JKR Kelantan.

Menurutnya penyelarasan ketiga-tiga agensi terbabit dilaksanakan melalui Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Noor.

“Penyelarasan itu penting mengelakkan jalan yang ditar kemudian dikorek semula yang melibatkan agensi berkaitan.

“Ia berlaku kerana kita tidak ada penyelarasan di peringkat negeri, tahun ini kita sudah adakan dua kali mesyuarat bersama agensi-agensi ini untuk menyelaras,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -