PAS fokus pasarkan pencapaian Kedah, Kelantan dan Terengganu

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS fokus untuk memasarkan trek rekod pencapaiannya melalui negeri yang ditadbir PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangannya, Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin, berkata pencapaian tiga buah negeri itu akan menjadi penanda aras kepada kepimpinan berintegriti.

Katanya, ini kerana PAS mahukan pemimpin yang bakal lahir pasca PRU15 merupakan pemimpin yang mempunyai komptensi dan integriti.

- Advertisement -

“Jabatan Penerangan PAS akan berusaha untuk memasarkan prinsip, dasar dan tawaran PAS kepada rakyat, khususnya kepada pengundi muda dan generasi Undi-18 yang akan menjadi ‘game changer‘ dalam PRU15.

“Ia satu benchmark, khususnya dalam topik yang berkaitan dengan integriti, ia akan dikongsi bersama rakyat Malaysia,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara Bahas, PRU15: PN atau MN? anjuran Bernama TV, Jumaat lalu.

Ir Khairil juga berpendapat parti yang bersendiri akan ketinggalan atas faktor suasana politik yang dinamik.

Katanya, gabungan parti tidak hanya berlaku di Malaysia, bahkan di negara luar.

“Kekuatan sesebuah relevansi perjuangan itu adalah daripada gabungan parti, bukan parti yang bersendiri. Namun, kita tidak mengenepikan dominasi bangsa Melayu kerana mereka adalah majoriti,” katanya.

Memahami situasi politik itu, PAS mengambil pendekatan untuk menyatukan ummah yang terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam.

Katanya, penyatuan itu berteraskan kepada konsep keadilan, integriti, konsep Keluarga Malaysia dan keadilan Islam yang dipimpin oleh Islam.

“Ini yang kita mahukan, gabungan parti yang tidak ekstrem, menghormati dasar dan Perlembagaan negara, serta faham tatacara dan pendekatan ketimuran yang ada dalam negara, yang perlu kita jaga kerana itu adalah budaya kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -