Mengambil semangat perjuangan daripada Tokoh Istiqamah

- Advertisement -

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

- Advertisement -

KATA Tok Guru Presiden PAS dalam ucapan perasmian ulang tahun 70 tahun PAS: “orang yang berumur 70 tahun dianggap tua, tapi perjuangan, selagi belum menang, tidak dianggap tua”.

Sejarah perjuangan Nabi Nuh AS lebih 950 tahun. Umur Nabi Nuh begitu lama. Sama lama dengan tempoh dakwah dan perjuangannya. Nabi Muhammad SAW berjuang selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah, 10 tahun di Madinah. Secara rasmi dilantik menjadi Nabi ketika berumur 40 tahun. Kalau di dalam PAS, umur 40 tahun baharu tamat bergiat dalam Dewan Pemuda, dan menyambung di dalam Dewan Ulamak jika dia lulusan agama. Mungkin juga menyambung perjuangan di peringkat cawangan, DUN, kawasan, negeri atau peringkat pusat. Boleh jadi juga dia pencen awal dan tidak lagi aktif dalam perjuangan, semoga dijauhkan Allah.

Para nabi, siddiqin, syuhada dan golongan soleh terdahulu istiqamah hingga meninggal dunia. Mereka meninggalkan dunia, dan meninggalkan perjuangan Islam untuk diwarisi oleh generasi berikutnya.

PAS adalah gerakan Islam yang mewarisi perjuangan mereka yang terdahulu. Generasi awal PAS sudah lama pergi. Namun kebaktian mereka masih diingati. Ketika program ulang tahun 70 tahun PAS di Taman Tamadun Islam, ditunjuk satu sketsa menarik menggambarkan susur galur perjuangan PAS. Mulai dari awal penubuhan, pahit-maung yang dilalui secara umum dan ringkas, hinggalah kewujudan PAS kini.

Dalam tempoh 70 tahun, asam garam perjuangan sangat banyak dan rencam. Tidak muat artikel ini mengimbau nostalgia manis dan pahit ahli dan pimpinan PAS terdahulu. Apabila pimpinan PAS kawasan menziarahi as-sabiqun, mereka bercerita dan berceloteh tentang kisah orang dulu yang mengasaskan PAS di tempat masing-masing.

Memanglah tidak sama antara mereka yang mula meredah hutan, menebas segala semak samun, bertembung dengan harimau dan ular dengan mereka yang hanya ‘membasuh kaki’ untuk menduduki sebuah rumah di kawasan bekas hutan itu yang sudah bersih. Namun, segala usaha yang dibuat, sama ada orang terdahulu dan kemudian, insya-Allah tetap ada pahala dan balasan masing-masing jika ikhlas kepada Allah.

Antara tokoh istiqamah yang menerima anugerah ialah Dato’ Mustafa Ali. Saya mula mendengar ceramah beliau sekitar 1980-an, sewaktu saya masih pelajar sekolah menengah. Ketika itu jugalah saya banyak mendengar ceramah pimpinan PAS ketika itu samada dari kaset atau secara langsung. Ceramah Dr Daeng Sanusi pula kadang-kadang, terutama ketika program rasmi parti. Ustaz Abdul Halim Arshat, walaupun saya tidak banyak mendengar ceramahnya di tahun 1980-an, tetapi tentunya seorang yang sangat sibuk mengurus parti di peringkat pusat. Tokoh-tokoh lain yang menerima anugerah juga adalah orang yang istiqamah dalam perjuangan hingga kini, dan hingga meninggal dunia, insya-Allah.

Bercakap walaupun singkat dengan tokoh-tokoh istiqamah, bergambar walaupun sekadar spontan tanpa dirancang, bertemu walaupun berbeza umur antara dua generasi, adalah bertujuan mengambil semangat dari mereka yang mendahului kita dalam perjuangan. Umur mereka sudah lanjut. Keadaan fizikal juga kelihatannya tidak kuat seperti dahulu. Namun, tentunya istiqamah mereka dengan parti dan perjuangan tetap tidak luntur. Ya Allah! jadikanlah kami juga istiqamah seperti mereka hingga mengadap-Mu. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -