Kawal harga ayam perlu kerjasama rentas kementerian

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerlukan kerjasama rentas kementerian bagi merangka pelan jangka panjang memastikan harga ayam tidak meningkat tinggi, terutama ketika musim perayaan.

Menterinya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ekosistem industri ayam begitu luas bermula dari peringkat rantaian pengeluar merentasi pemborong sehingga sampai ke peringkat runcit dan akhirnya tiba di meja makan pengguna.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya KPDNHEP sentiasa melaksanakan libat urus dan sesi perbincangan bersama kementerian berkaitan serta pihak industri yang terkesan berhubung kenaikan harga ayam ini, terutama bagi menangani masalah kos operasi penternak ini sejak dari ladang.

“Antara saranan pihak industri adalah untuk memohon bantuan pinjaman mudah serta kemudahan moratorium bagi membantu menangani kos operasi perniagaan mereka,” katanya menjawab soalan lisan Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin di Dewan Negara, hari ini.

Alexander berkata, isu kenaikan harga ayam perlu dilihat dalam konteks global yang lebih luas dan konteks dalaman, berkisar berkenaan kecekapan kos operasi penternak ayam bermula di peringkat ladang lagi.

Dari sudut global, katanya kajian utama dunia menyaksikan isu kenaikan harga makanan dunia melonjak sehingga 30 peratus tahun ini.

Bagaimanapun, katanya isu kenaikan harga secara global bersifat luar kawalan kerana banyak faktor luaran yang menyumbang kepada kenaikan harga ini.

“Kita turut terkesan dengan kesan global memandangkan input makanan ternakan serta bahan mentah utama ayam turut diimport. Sebagai contoh, jagung dan soya merupakan 60 peratus daripada komponen penghasilan pengeluaran makanan ternakan ayam dan jumlah yang kita import adalah hampir 100 peratus,” katanya.

Dari sudut dalaman, katanya isu kenaikan harga ayam ini berkisar berkenaan kos operasi yang meningkat akibat masalah rantaian makanan.

Sebagai contoh, katanya masalah kapasiti buruh, logistik dan orang tengah, manakala faktor lain yang turut memberi kesan ialah kekurangan penawaran untuk menampung permintaan yang tinggi apabila sektor ekonomi mula beroperasi.

Beliau berkata, KPDNHEP sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meminimumkann kenaikan harga barangan dengan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Katanya, SHMMP bertujuan menstabilkan kenaikan harga yang tidak munasabah akibat permintaan tinggi ketika musim perayaan serta memastikan bekalan mencukupi di pasaran.

Selain itu, katanya pemantauan harga barang dilakukan secara harian dan konsisten oleh Pegawai Pemantau Harga yang dilantik oleh kementerian. – HARAKAHDAILY 14/12/21

- Advertisement -