PAS bukan parti oportunis – Khairil

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa PAS adalah parti oportunis.

Menurutnya, penafian itu dapat dibuktikan melalui sikap 18 Ahli Parlimen PAS yang kekal menyokong bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassan semasa berlaku gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Pagoh itu.

- Advertisement -

“Lima belas Ahli Parlimen yang tarik sokongan dari Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, apakah itu datang dari PAS? Tidak, ia menunjukkan kami (PAS) bukan oportunis.

“Jika kita (PAS) bersifat oportunis, kalau kita bergaduh dengan Umno sekarang, kenapa PAS masih lagi bersama dengan Bersatu dalam PN 2.0?

“Kenapa PAS dan Bersatu bersetuju meletakkan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika beliau datang dari Umno?” katanya dalam rancangan Ruang Bicara Bahas, PRU15: PN atau MN? anjuran Bernama TV, Jumaat lalu.

Kata Khairil, tindakan PAS untuk bersama Umno, Bersatu dan parti lain adalah untuk memastikan komponen itu cukup kuat untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Beliau dapat merasakan rakyat bersetuju dengan hasrat itu dan tugas seterusnya adalah mencari formula terbaik demi membolehkan Umno dan Bersatu dapat duduk semeja serta tidak bertembung sesama sendiri pada PRU15. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -