Anjur Hari Industri Sedunia, kembalikan industri perkayuan

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dicadang untuk menjadi penganjur tahunan Hari Industri Sedunia dan membangkitkan kembali industri perkayuan di negeri ini.

- Advertisement -

Mohd Sofian Abd Jalil (PAS-Luit) melontarkan cadangan tersebut semasa perbahasan Belanjawan 2022 Pahang di Dewan Sri Pahang, di sini minggu lalu.

Menurut beliau, pada ketika ini World Industrial Day Malaysia diadakan setiap tahun sejak 2014 di mana ianya dianjurkan oleh Persatuan Pereka Industri Malaysia.

“Saya cadang kerajaan negeri jadi host. Kalau dapat host bersama Persatuan Pereka dengan kerajaan negeri. Ia boleh jadi lonjakan perhatian Malaysia kepada Pahang,” ujarnya.

Katanya, Pahang telah terkenal melahirkan ramai pereka bentuk bertaraf dunia di mana peluang itu mesti dimanfaatkan sebagai satu tele-pemasaran yang sangat berharga.

Kejayaan anak Pahang, Mariam Muzammil memenangi pingat emas Canadian Special Award and Best Young Inventor Award in Six International Competition di Toronto menjadi sandarannya. 

Beliau pada Sidang DUN lalu mencadangkan Pahang membina imej baharu menjadi negeri pengeluar pereka bentuk dan produk-produk industri dengan mewujudkan Institusi Pereka Bentuk.

Menyentuh mengenai industri perkayuan, Sofian berkata negeri ini pernah terkenal mengeluarkan produk berkenaan serta mempunyai kilang-kilang operasinya.

Hasrat itu dikemukakannya untuk industri itu dibangunkan kembali sebagai teras ekonomi untuk negeri dan beliau sedia membantu mempercepatkan proses berkaitan.

“Sebab kita ada keluarkan kayu, jual balak, buat molding, ada masa tu plywood. Kita ada perabot, papan lantai dan kilang-kilang banyak.

“ASPA MENTIGA di Pekan, Land General pun ada. Beribu-ribu pekerja perabot,” ujarnya sedia menarik pemaju-pemaju industri perkayuan kembali ke negeri ini. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -