Ali Izzat Begovic: Panji Islam di tengah bumi Balkan

- Advertisement -

ALI atau Alija Izzat Begovic adalah tokoh yang tidak asing lagi kepada umat Islam Bosnia Herzegovina. Seorang pejuang yang tidak pernah kenal penat dan lelah dalam menobatkan kembali Islam di bumi Balkan setelah lebih separuh abad berada di bawah cengkaman pemerintahan kerajaan komunis Yugoslavia.

Pada tanggal 19 Oktober 2021 yang lalu, genap 18 tahun kematian beliau yang terus diingati oleh umat Islam sebagai salah seorang tokoh perjuangan Islam di zaman moden ini dalam usaha untuk terus memartabatkan Islam di bumi Bosnia Herzegovina yang menjadi legasi kepada perjuangan beliau selama ini.

Alija Izzat Begovic adalah seorang ahli politik, peguam, tokoh dan ahli falsafah Islam serta seorang penulis. Pada tahun 1992, beliau telah dilantik sebagai presiden pertama kepada negara baharu Bosnia Herzegovina sehinga tahun 1996 dan kemudiannya dilantik ke Majlis Presiden Bosnia Herzegovina sehingga tahun 2000.

Alija Izzat Begovic adalah pengasas kepada Party of Democratic Action yang ditubuhkan pada 29 Mei 1990. Parti tersebut berteraskan Islam dan memainkan peranan utama dalam penyatuan umat Islam di Bosnia Herzegovina termasuk juga di hampir keseluruhan wilayah Balkan.

- Advertisement -

Beliau dilahirkan pada tanggal 8 Ogos 1925 di bandar Bosana Kuraba (Bosanski Samac) dari keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Beliau membesar di kota kelahirannya di mana almarhum datuknya adalah bekas datuk bandar di kota tersebut dan merupakan keluarga yang amat dihormati.

Setelah menamatkan pengajiannya, beliau terus berkecimpung dalam perjuangan Islam dengan menubuhkan sebuah organisasi Islam yang diberikan nama Mladi Muslimani (Young Muslimin) pada tahun 1941. Pertubuhan ini mengambil model daripada gerakan Ikhwanul Muslimin.

Namun pada tahun 1944, Alija Izzat Begovic telah ditangkap oleh kumpulan militia Yugoslavia dan nasionalis Serbia yang dinamakan Chetniks sebelum dibebaskan oleh seorang bekas komander perang Serbia dalam perang dunia pertama dalam kumpulan tersebut, Dragutin Keserovic yang terhutang budi pada almarhum datuknya yang berjaya membebaskan 40 tahanan Serbia pada tahun 1914 ketika perang dunia pertama.

Setelah dibebaskan, Alija Izzat Begovic menyambung pengajiannya dalam bidang undang-undang di University of Sarajevo. Tidak lama selepas itu, beliau telah ditangkap oleh tentera komunis Yugoslavia pada tahun 1946 dan dipenjarakan selama tiga tahun di atas pertuduhan pembabitannya dalam perang Yugoslavia pada tahun 1941.

Tahun 1970, Alija Izzat Begovic telah menerbitkan satu manifesto yang bertajuk Islamic Declaration yang mengetengahkan idea dan pandangannya tentang Islam, negara dan masyarakat. Manifesto beliau telah diharamkan oleh kerajaan komunis Yugoslavia ketika itu dan beliau dituduh cuba menghidupkan Mladi Muslimani dan membina sebuah negara Islam Bosnia Herzegovina.

Selama beberapa tempoh, warga Serbia yang tidak senang dengan manifesto Alija Izzat Bergovic yang kemudiannya menuduh beliau dan rakan-rakannya cuba untuk mencipta sebuah republik seakan Iran di Bosnia Herzegovina dan sering kali dimainkan isu tersebut untuk mematikan karier politik beliau.

Akhirnya pada tahun 1983, Alija Izzat Begovic dan 12 orang lagi cendikiawan Islam di Bosnia Herzegovina telah dibicarakan dan dijatuhkan hukum penjara atas tuduhan ektrimis Islam. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun dan baki yang lain dipenjarakan antara lima hingga 13 tahun.

Setelah kejatuhan kerajaan komunis Yugoslavia pada tahun 1988, Alija Izzat Begovic telah diberikan pengampunan dan dibebaskan setelah lima tahun dipenjarakan. Ketika dibebaskan dari penjara, beliau mengalami masalah kesihatan yang agak kritikal dan pulih sepenuhnya sebelum membabitkan diri semula dalam arena politik Bosnia Herzegovina.

Sistem pelbagai parti yang diperkenalkan di Yugoslavia pada penghujung 1980an setelah jatuhnya kerajaan komunis Yugoslavia telah diambil peluang oleh Alija Izzat Begovic dan rakan-rakannya untuk membabitkan diri dalam arus politik perdana di Bosnia Herzegovina ketika itu di mana Party of Democratic Action telah ditubuhkan oleh beliau dan rakan-rakannya.

Pada 18 November 1990, telah berlangsung pilihanraya umum pertama Bosnia Herzegovina dan Party of Democratic Action telah berjaya memenangi pilihanraya tersebut dengan mendapat undian sebanyak 31.48 peratus daripada keseluruhan undi dan kemudiannya Alija Izzat Begovic dilantik menjadi Presiden pertama Bosnia Herzegovina.

Konsep perkongsian kuasa yang diamalkan dalam Bosnia Herzegovina tidak kekal lama keharmoniannya apabila berlakunya ketegangan di antara puak Serb Bosnia dan Crotia. Keadaan menjadi semakin tegang hingga menyebabkan Serb Democratic Party dan parti Croatia Democratic Union of Bosnia Herzegovina meninggalkan kerajaan hingga mengakibatkan terjadinya peperangan di Bosnia Herzegovina.

Peperangan di antara puak Croatia dan Serb Bosnia turut mengheret umat Islam Bosnia ke dalam kancah peperangan tersebut. Akibat dari itu, bermulalah konflik di Bosnia Herzegovina dan juga tuntutan untuk menubuhkan sebuah negara Bosnia Herzegovina oleh umat Islam Bosnia dan puak Croatia tanpa puak Serb Bosnia dan pemimpinnya Radovan Karadzic yang mahu mengekalkannya dalam Yugoslavia yang dikuasai oleh puak Serbia.

Akibat daripada itu, satu referendum telah diadakan antara 29 Februari dan 1 Mac 1992 dan 97 peratus menyokong penubuhan sebuah negara merdeka Bosnia Herzegovina. 3 Mac 1992, Alija Izzat Begovic mengisytiharkan Bosnia Herzegovina sebagai sebuah negara merdeka dan kemudiannya diluluskan oleh Parlimen Bosnia Herzegovina. Referendum tersebut disokong dan diluluskan serta diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun keputusan referendum tersebut dibantah oleh puak Serb Bosnia yang memboikotnya dan disokong oleh negara Serbia pimpinan Slobodan Milosevic. Akibatnya, tentera Serbia pimpinan Radovan Karadzic bertindak menyerang Bosnia Herzegovina dengan alasan untuk mengelak bumi Yugoslavia daripada berpecah.

Namun hakikat sebenarnya ialah untuk menghalang umat Islam Bosnia daripada menubuhkan sebuah negara merdeka dan dendam lama mereka terhadap umat Islam khususnya sejak era pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah.

Pembunuhan beramai-ramai umat Islam Bosnia di Srebrenica, Bosnia Herzegovina menjadi intipati penting kerana akibat daripada peristiwa tersebut, ia telah  menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih agresif terhadap kekejaman tentera Serbia yang menzalimi Umat Islam Bosnia mahupun puak Croatia.

Akibat desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa, pada 18 Mac 1994, satu perjanjian damai yang dikenali sebagai Washington Agreement telah ditandatangani dan akhirnya Bosnia Herzegovina telah menjadi sebuah negara yang merdeka.

Namun begitu, ia tidak menjadi halangan untuk tentera Serbia terus menyerang Bosnia Herzegovina walaupun telah menandatangani perjanjian damai dan wujudnya Bosnia Herzegovina sebagai sebuah negara yang merdeka.

Akhirnya pada tahun 1995, NATO telah melancarkan Operation Deliberate Force dengan menyerang kedudukan tentera Serbia di wilayah yang bergolak tersebut di mana akhirnya tindakan itu telah menamatkan peperangan yang berlarutan sejak sekian lama.

Pada 21 November 1995, satu rundingan damai telah diadakan di Dayton, Ohio, Amerika Syarikat di antara Bosnia Herzegovina dan Serbia. Rentetan daripadanya pada 14 Disember 1995, satu perjanjian damai telah ditandatangani di Paris, Perancis yang akhirnya telah menamatkan perang saudara yang berlangsung lebih daripada lima tahun, mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa serta memusnahkan harta benda rakyat Bosnia Herzegovina.

Konflik yang berlarutan lebih lima tahun ini telah mengorbankan hampir 250,000 rakyat Bosnia Herzegovina yang tidak berdosa di seluruh Bosnia Herzegovina yang majoritinya adalah umat Islam. Ia juga menjadi peristiwa hitam yang tragis dalam era kemerdekaan Bosnia Herzegovina sebagai sebuah negara.

Setelah sekian lama keadaan tenang di Bosnia Herzegovina, keadaan kini kembali tegang. Rata-rata pemimpin dunia terutamanya Eropah kini mula menjengah kembali situasi di Bosnia Herzegovina dalam usaha untuk meredakan ketegangan di sana yang kini semakin hampir mencapai kemuncaknya.

Sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam yang menyokong warga Bosnia Herzegovina ketika berlakunya krisis mahupun konflik dahulu, titipkanlah doa buat mereka agar keadaan menjadi tenang serta diberikan kekuatan kepada mereka untuk mengharungi keadaan yang getir ketika ini.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan melindungi umat Islam di Bosnia Herzegovina.

Al Fatihah buat Almarhum Alija Izzat Begovic.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 11/12/2021

- Advertisement -