Dana Wakaf Air naik taraf kolam tadahan air bukit

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Dana Wakaf Air sebanyak RM10,000 berjaya menaik taraf kolam tadahan air bukit yang disalurkan ke Pondok Warga Emas Madrasah Ibnu Mas’ud, Kampung Sungai Mahang, Nilai yang telah siap sepenuhnya 18 Oktober lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pembinaan kolam tadahan air di Negeri Sembilan ini termasuklah penyediaan tangki simpanan air, penggantian sistem perpaipan serta penaiktarafan kimpalan besi sebagai jalan ke kolam tadahan air di pondok terbabit.

Katanya, projek berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang 20 hari yang memanfaatkan 38 buah pondok di madarasah terbabit.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pewakaf, urusetia Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), kontraktor projek dan sukarelawan yang berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, kelmarin.

Inisiatif Wakaf Air yang dilancarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) merupakan satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan bekalan air kepada rakyat negara ini.

Inisiatif berkenaan dapat menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada golongan memerlukan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

KASA mensasarkan lima projek perintis Wakaf Air di empat negeri membabitkan kos keseluruhan RM180,500 di beberapa lokasi sekitar Selangor, Perak, Pahang dan Johor.

Lima projek perintis Wakaf Air itu adalah di Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat dan Kampung Sungai Sendat, Ulu Yam, Hulu Selangor di Selangor; Kampung Melayu Seelong, Senai, Johor; Kampung Batu Balak, Jerantut, Pahang dan Manjung, Perak. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -