Maritim kejar bot nelayan asing 3 jam

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) terpaksa mengejar tiga jam sebuah bot nelayan asing ketika cuba menangguk gamat di perairan negara semlam.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, nelayan terbabit ditahan pada jarak kira-kira 41.2 batu nautika daripada Muara Tok Bali dan 6 batu nautika daripada sempadan Thailand, jam 10.40 malam tadi.

Katanya, ketika pemeriksaan dibuat nelayan asing berumur antara 17 hingga 34 tahun gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri dan dokumen surat kebenaran yang sah.

- Advertisement -

“Anggota Maritim menahan sebuah bot dan lima krew nelayan Vietnam termasuk tekong,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurutnya juga kegiatan haram nelayan asing mulai dikesan oleh dua aset Maritim Kelantan iaitu Kapal Maritim (KM) Jujur dan bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi bersama.

Katanya anggota Maritim mengesan bot nelayan asing pada jam 6.50 petang di mana mereka bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak lebih kurang 8.9 batu nautika daripada sempadan Thailand.

Beliau berkata, setelah menyedari diekori, mereka cuba melarikan diri menuju ke sempadan perairan Thailand dan akhirnya terpaksa berhenti bagi membolehkan pasukan menjalankan penyiasatan ke atas bot terbabit.

“Bot dan krew berkenaan kemudian ditunda ke Ibu Pejabat Maritim di Tok Bali untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -