64,863 pekebun kecil getah sertai program tanam semula

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Program Tanam Semula Getah (TSG) yang dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berjaya memberi manfaat kepada seramai 64,863 pekebun kecil getah di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata projek yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membabitkan peruntukan sebanyak RM589.19 juta.

- Advertisement -

Katanya, TSG membantu pekebun kecil menanam semula kebun getah tua atau kebun lain yang tidak ekonomik dengan benih getah baharu berhasilan tinggi.

“Kementerian menjangka penanaman getah baharu mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh empat tahun setengah jika pekebun mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) melalui bimbingan dan latihan kakitangan RISDA,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta kerajaan menyatakan jumlah subsidi Program TSG untuk menggantikan pokok getah yang tidak ekonomik dan jumlah pekebun kecil yang berjaya mendapat kelulusan skim tersebut sepanjang tempoh RMK-11.

Abdul Rahman berkata, RISDA turut menyediakan bantuan di bawah program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan pembangunan usahawan kepada pekebun sementara menunggu pokok getah mengeluarkan hasil.

Melalui program sepanjang RMK-11 itu, katanya pekebun kecil menerima bantuan keperluan memulakan perniagaan dalam bentuk peralatan, bahan input serta pengeluaran.

Katanya, program itu juga menyediakan bimbingan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan kepada pekebun kecil dan ahli keluarga dengan seramai 11,591 pekebun kecil menerima manfaat melalui peruntukan sebanyak RM165.64 juta.

Sementara itu, melalui Program Pembangunan Hasil Baru Agro Makanan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta , seramai 520 pekebun kecil menerima manfaat bermula tahun lalu.

Menurutnya, program ini menyediakan bantuan seperti peralatan dan input pertanian kepada pekebun kecil yang boleh memberi hasil dalam kadar segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -