Perlis wajar perkasa undang-undang syariah

- Advertisement -

NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Memandangkan Perlis dikenali sebagai Darul Sunnah adalah wajar kerajaan negeri mengambil langkah memperkasakan lagi undang-undang syariah negeri seperti dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) berkata, kerajaan Perlis disaran mengambil langkah ke hadapan bagi menambah baik undang-undang jenayah syariah.

“Ia sesuai dengan gelaran Perlis dengan jolokan Darul Sunnah, secara tidak langsung ia lebih dekat dengan amalan Rasulullah SAW dengan melaksanakan tuntutan al-Quran dan Sunnah baginda.

- Advertisement -

“Usaha ke arah itulah yang kita mahu lihat supaya Perlis yang kecil mampu menjunjung perintah Allah SWT,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Menjawab isu tersebut anggota Exco kerajaan negeri Ruzaini Rais berkata, kerajaan negeri sentiasa menambah baik perundangan syariah seperti terkandung dalam Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

“RUU 355 masih belum diluluskan di peringkat Persekutuan dan belum dibentangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Oleh itu, cadangan kajian untuk penambahbaikan hukuman di bawah perundangan tersebut akan dibuat setelah pindaan RUU 355 dibentang dan diluluskan di Parlimen.

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri menguatkuasakan hukuman jenayah syariah di bawah Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 (Enakmen 4/1993) seperti yang diperuntukkan,” katanya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentang Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun usul persendirian itu tidak dapat dibahaskan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Bagaimanapun pada Mac 2021 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memberitahu kerajaan bersedia membawa rang undang-undang itu dirunding dengan negeri-negeri bagi mendapatkan kelulusan sebelum dibentang di Parlimen. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -