70 tahun PAS ‘dibakar tak hangus, direndam tak basah’

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Tanpa sedar usia PAS kini menjejaki 70 tahun selepas secara rasmi ditubuh pada 24 November 1951 di Kelab Melayu, Bagan, Bagan Tuan Kechil, Butterworth Pulau Pinang.

Sehubungan itu bagi mengingatkan kembali detik kelahiran PAS, sambutan kemuncak ulangtahun penubuhan ke-70 akan diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu Ahad ini.

- Advertisement -

Sambutan ulangtahun itu diadakan selama dua hari bermula Sabtu dengan Himpunan Pemuda PAS bermula jam 7.30 pagi hingga 11 malam di Stadium Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Pada hari yang sama Dewan Ulamak PAS pula mengadakan program bermula jam 7 petang hingga 9 malam dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat hajat di Masjid Durian Burung, Kuala Terengganu.

Pada hari kedua pula Dewan Muslimat PAS mengadakan Program Sepagi Bersama Muslimat yang bermula jam 8 pagi hingga 1.30 petang di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.

Manakala program Ijtmak Guru-Guru Pondok akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 1.30 petang di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Pekan Batu Enam, Kuala Nerus.

Acara kemuncaknya akan bermula jam 2 hingga 6 petang di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Sebelum itu, skuad bermotosikal akan mengiring Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama pimpinan tertinggi daripada Masjid Rusila, Marang ke TTI, Kuala Terengganu.

Pelbagai pengisian dan ucapan akan disampaikan oleh pemidato tentang sejarah dan perjuangan suka duka parti PAS yang ibarat peribahasa Melayu, ‘dibakar tak hangus, direndam tak basah’.

Oleh itu ahli-ahli dan penyokong PAS berpeluang hadir bagi menyaksikan hari yang bersejarah tersebut untuk berkongsi pengalaman bagi terus memacu perjuangan di pentas demokrasi di negara ini. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -