UnIPSAS mampu lahirkan umat Islam hebat

- Advertisement -

NAIK taraf diterima Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi hakikatnya merupakan satu taklifan untuk meninggikan martabat Islam.

Pengiktirafan diterima sempena Jubli Emas sejak ditubuhkan sebagai Kolej Islam Pahang pada tahun 1996 itu dilihat bakal mengibarkan panji Islam dengan lebih megah dan gemilang di masa hadapan. 

- Advertisement -

Sebagai permata Islam di negeri ini, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) diharap tidak menjadi kampus yang terhad buat para mahasiswanya sahaja. Limpahan ilmu dari UnIPSAS sangat penting dalam mengembangkan dakwah, keimanan, keinsanan dan kemakmuran Negeri Pahang khususnya dan ummah sejagat amnya.

Umat yang masih tidur dan taqlid serta terjajah tanpa sedar dan bebas ketidaktahuan punca mesti dibangunkan dan dibimbing mendepani cabaran serta keraguan yang mencengkam paradigma. Juga pelbagai tipu daya dan kehancuran yang cuba dijerumuskan musuh Islam terhadap dunia ini. 

Legasi turath dan muasarah dalam mencetak umat dengan Islam yang syumul diyakini mampu menongkah semua halangan itu dengan pertolongan Allah. 

UnIPSAS mesti memimpin perubahan zaman dengan ilmu, hikmah, islah dan tajdid yang dapat menyelesaikan masalah dan untuk maslahah umat meliputi segala cabang kehidupan. 

Perlu berani dan jujur dalam menterjemah, mengeluarkan pandangan dan benteng mempertahankan Islam serta menjadi rujukan berwibawa. Sistem mencacamerbakan mesti diusul ganti dengan sistem Islam yang mensejahterakan.

Semoga lebih banyak bidang pengajian dapat ditawarkan dan fakulti-fakulti atau kuliah baharu dibuka akan datang. Tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas pengiktirafan naik taraf yang diterima ini.

“Islam Menyatukan Ummah”

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOR
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -