TFC tawar kontrak baharu kepada Nafuzi

Nafuzi Zain
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd masih menagih khidmat jurulatih muda meningkat naik Nafuzi Zain, dengan menawarkan kontrak baharu kepada beliau untuk musim hadapan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd yang dipengerusikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Seri Iman di sini, hari ini.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd Ab Rasid Jusoh berkata keputusan untuk mengekalkan Nafuzi sebagai pengendali skuad Penyu, dibuat atas pelbagai faktor terutama bagi pelan persediaan 2022 yang telah dipersiapkan lebih awal oleh pihak pengurusan bersama barisan kejurulatihan musim 2021.

“Keputusan mengekalkan Nafuzi dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah setelah mengambil kira banyak aspek, termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan bagi membawa cabaran saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Selain itu, ia juga atas dasar komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pengendali muda itu ketika membimbing pasukan TFC sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ab Rasid pihaknya masih menunggu persetujuan daripada Nafuzi yang diharap dapat membantu meningkatkan lagi reputasi skuad Penyu di Liga M pada musim depan.

“Pihak kami amat berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan beliau (Nafuzi) selama ini dan diharap akan terus meningkat dengan aras pencapaian yang ditetapkan kelab bagi musim 2022,” katanya.

Nafuzi yang berasal dari Kelantan memulakan karier bersama Skuad Penyu pada 2018 sebagai penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim sebelum mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih interim pada 2019.

Ia susulan peletakan jawatan Irfan Bakti secara mengejut berikutan masalah prestasi pasukan.

Khidmat beliau terus disambung sehingga musim 2021 yang menyaksikan TFC mengakhiri Liga Super di tangga keempat dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -