Mayat kanak-kanak reput, berbau ditemui di tebing sungai

JOHOR BAHRU: Mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak diketahui jantina, ditemukan dalam keadaan reput dan berbau di tebing sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu, oleh orang awam pada pukul 10.43 pagi.

Advertisement

“Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dengan jarak lima kaki dari tebing sungai. Sebahagian daripada tubuh mayat kanak-kanak itu mungkin sudah dimakan haiwan.

“Malah, jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana mayatnya sudah reput, namun dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat kanak-kanak itu, dan siasatan termasuk jantina dan latar belakang mangsa sedang dijalankan. – BERNAMA