PRN Sarawak: PAS bertanding tidak keruh hubungan dengan GPS

KUALA TERENGGANU: Hubungan PAS dengan rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mengeruhkan keadaan kerana parti itu mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) serta menghormati proses demokrasi di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS bukanlah sebuah parti baharu di Sarawak sebaliknya telah menyertai beberapa siri pilihan raya termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, keputusan PAS menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak itu sebagai proses melatih jentera-jentera parti dalam kerja-kerja pilihan raya akan datang.

“Kita menghormati proses demokrasi dan PAS bukanlah parti yang baharu di Sarawak ini. Kita sekadar mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ini sebagai satu proses melatih jentera-jentera kita dalam kerja-kerja pilihan raya.

Advertisement

“Oleh sebab itu, kita tidak menetapkan suatu jumlah yang besar untuk kita bertanding ini. Tempat yang kita bertanding ini juga adalah tempat yang PAS mempunyai keahlian yang ramai dan pernah bertanding sebelum ini, dan dengan adanya tempat PAS bertanding ini memberi ruang kepada ahli-ahli PAS memilih untuk mengundi PAS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily usai melawat tapak Sambutan 70 Tahun PAS di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Timbalan Pengarah Program Sambutan 70 tahun PAS dan Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ketika ditanya, adakah tindakan PAS menyertai PRN Sarawak itu akan mengeruhkan hubungan dengan rakan GPS, beliau berkata tidak mengeruhkan hubungan kerana PAS mengamalkan BPMS yang selaras dengan politik Islam.

“Ini tidak akan mengeruhkan hubungan, kita mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), politik yang berhemah, yang beradap selaras dengan politik Islam.

“Kepada ahli PAS, kita minta ambillah peluang dalam pilihan raya negeri Sarawak ini untuk memperkemaskan jentera parti, untuk menimba pengalaman pilihan raya dan menyeru supaya ahli-ahli PAS ini memberi sokonganlah kepada calon yang kita tonjolkan dalam pilihan raya ini nanti,” jelasnya.

Gabungan Parti Sarawak sebelum ini merupakan bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Harakahdaily difahamkan, GPS diluluskan pendaftarannya secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 19 November 2018 serta diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebagai ‘Parti Gabungan Politik’ yang sah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 sementara penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal 14 Disember.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022. Darurat itu ditarik balik pada 3 November, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN. – HARAKAHDAILY 4/12/2021