Omicron: SOP kemasukan pekerja asing diperketat

LARUT: Kerajaan memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada berkaitan kemasukan pekerja asing berikutan Malaysia merekodkan kes positif Covid-19 varian Omicron yang pertama di Perak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata SOP itu diperketatkan mengikut persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan setiap individu yang memasuki negara ini tidak membawa virus berbahaya itu.

Advertisement

“Kita tidak tahu mereka yang memasuki negara ini mempunyai virus dan kerana itu Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian kepada orang yang memasuki negara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Mahabbah Rasulullah Sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama di Sungai Bayor dekat sini hari ini.

Beliau berkata pekerja asing yang memasuki negara ini tidak terlepas daripada peraturan yang ditetapkan kerajaan iaitu mereka mesti divaksinasi terlebih dahulu serta menjalani ujian dan dikuarantin dalam tempoh ditetapkan sebelum dibenar bekerja di ladang-ladang dan sektor lain.

“Semua majikan juga patut menerima hakikat ini…yang penting untuk menjaga kesihatan rakyat. Kerajaan berhati-hati dan mengikut semua SOP kemasukan pekerja yang ditetapkan dan perketatkan SOP yang dipersetujui MKN,” katanya.

Malaysia merekodkan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron, membabitkan seorang penuntut  sebuah universiti swasta di Ipoh dari Afrika Selatan.

Ditanya mengenai isu kartel di Jabatan Imigresen, Hamzah berkata pihaknya telah meminta Ketua Pengarah Imigresen supaya mengambil terhadap kakitangan jabatan itu yang didapati terbabit dengan sindiket.

“Saya sudah maklum bahawa kartel ini merupakan satu kumpulan yang bekerja dengan sindiket. Sindiket tidak akan boleh melakukan sesuatu kerja tanpa mempunyai kumpulan dalam Jabatan Imigresen.

Beberapa orang kakitangan jabatan itu sama ada pegawai atau anggota kita akan ambil tindakan dan beberapa orang telah didakwa di mahkamah,” katanya.

Rabu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Pembabitan kartel itu bukan sahaja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka. – BERNAMA