Tiada pihak gembira dengan kenaikan harga barang

- Advertisement -

TANPA dapat berselindung, negara sedang berhadapan dengan isu kenaikan harga barang yang mengganggu kesejahteraan rakyat. Pihak kerajaan, peniaga dan pengguna sudah tentu tidak gembira dengan situasi ini. 

- Advertisement -

Sebuah akhbar perdana pada minggu lalu telah mengeluarkan satu laporan mengingatkan rakyat Malaysia supaya perlu bersedia untuk berhadapan dengan kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga. 

Menurut persatuan ini, semua barangan keperluan asas dijangka menghadapi kenaikan, terutamanya makanan kerana negara kita masih bergantung kepada aktiviti import untuk menampung keperluan domestik.

Isu kenaikan harga barang makanan bukanlah perkara baharu malah sering berlaku berulang-ulang kali khususnya apabila menjelang musim perayaan dan perkahwinan.

Tanpa menafikan respon balas daripada Perdana Menteri bahawa situasi ini berlaku disebabkan kos yang ditanggung di pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga namun dalam masa yang sama isu manipulasi sesetengah pihak khususnya orang tengah atau peraih yang mungkin cuba mengambil keuntungan luar biasa.

Di samping pemantauan yang lebih kerap dan berkala dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerjasama daripada pengguna juga penting untuk menyalurkan maklumat yang tepat kepada pihak KPDNHEP bukan hanya menyebarkan di dalam media sosial tanpa keterangan yang membantu. Usaha membendung kenaikan harga barang ini bukan hanya tugas kerajaan sahaja malah melibatkan kita sebagai pengguna.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang

2 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -