MoU pembantu rumah: Malaysia dan Indonesia masih berunding

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia masih berunding bagi mencapai kesepakatan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata MoU antara kedua-dua negara tamat pada tahun 2016 menyebabkan tiada sebarang kemasukan baharu pembantu rumah secara terus dari Indonesia.

- Advertisement -

“Bagaimanapun, kerajaan tidak menghalang mana-mana agensi pekerjaan swasta untuk membuat pengambilan pembantu rumah dari negara sumber lain seperti Filipina dan Kemboja,” katanya menjawab soalan lisan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Teresa Kok meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Jabatan Tenaga Kerja dalam proses menghapuskan sistem pengambilan dan penempatan pembantu rumah berikutan lebih 1,000 agensi pekerjaan swasta tidak mempunyai bekalan pembantu rumah asing sejak 2016.

Sementara itu setakat 30 September lalu, Awang berkata menerusi Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan lesen kepada 773 agensi pekerjaan swasta di bawah kategori B dan C yang ingin mengambil pembantu rumah asing untuk bekerja di Malaysia.

Katanya, kerajaan tidak bercadang menghapuskan sistem pengambilan dan penempatan pembantu rumah sedia ada, tetapi akan memperhalusi dan membuat penambahbaikan supaya sistem sedia ada lebih berkesan.

Setakat 31 Oktober lalu, katanya berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia, terdapat seramai 88,752 orang pembantu rumah asing bekerja di negara ini. – HARAKAHDAILY 2/12/21

- Advertisement -