70 tahun politik dakwah PAS

- Advertisement -

24 NOVEMBER 2021 adalah tarikh ulang tahun penubuhan PAS yang ke-70. Sepanjang tempoh 70 tahun ini, PAS pernah memegang pentadbiran tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. PAS juga pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1973 – 1977 bersama Barisan Nasional, dan juga bersama Perikatan Nasional pada hari ini.

- Advertisement -

Walaupun dalam kedua-dua gabungan ini, PAS tidaklah memiliki majoriti mahupun kuasa mutlak untuk membuat keputusan yang membabitkan dasar, sejarah menunjukkan bahawa PAS mempunyai pengaruh yang besar ke arah usaha mewujudkan pemerintahan yang berlandaskan Islam.

Sewaktu PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan buat kali pertama, PAS telah berunding dengan Menteri Penerangan pada waktu itu untuk menamatkan iklan dan keputusan perjudian seperti Sport Toto dalam televisyen. PAS juga berupaya membawa perubahan dengan menghapuskan arak dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, menghapuskan tempat minum arak (bar) di Parlimen dan memperkenalkan kuliah agama di jabatan-jabatan kerajaan.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), iaitu salah sebuah agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula merupakan cetusan idea yang lahir daripada kerjasama politik antara PAS dan Umno.

Demikianlah antara cara PAS menggunakan ruang yang terhad sebaik mungkin untuk memberi pengaruh kepada polisi yang dilaksanakan Kerajaan. Perkembangan dakwah Islam begitu pesat ketika itu sekaligus memberikan manfaat yang besar kepada orang Melayu.

Kerajaan Negeri Kelantan sebagai Kerajaan PAS yang paling lama memerintah telah menguatkuasakan undang-undang Islam dengan mengharamkan judi dan loteri, mengadakan larangan menjual dan menyajikan arak di tempat awam, menutup kelab malam, pusat hiburan, dan pusat pelacuran serta menguatkuasakan etika pakaian Islam termasuklah di hotel dan papan tanda iklan. Selain itu, PAS juga telah menukarkan sistem pajak gadai riba kepada pajak gadai Islam.

Usaha untuk melaksanakan sistem pemerintahan Islam turut dapat dilihat melalui undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan negeri seperti Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang dibuat berasaskan prinsip Islam.

PAS juga amat menitik beratkan keutuhan institusi keluarga dan kebajikan wanita Islam dengan memastikan rumah tiga bilik dibina dan menambah cuti bersalin daripada 42 hari ke 60 hari.

Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan sebat Syariah kepada pesalah yang cuba melakukan hubungan sejenis, suatu hal yang tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Kerajaan Negeri Kedah pula telah mengharamkan operasi semua kedai perjudian nombor ekor 4D di negeri itu.

Justeru, untuk mengukur kemahuan dan kemampuan PAS melaksanakan hukum syarak, lihatlah bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah mentadbir negeri masing-masing.

Di peringkat Persekutuan, PAS mengambil pendekatan memperkukuh syiar Islam melalui pertemuan, perbincangan dan perundingan dengan pihak-pihak lain.

PAS sentiasa mengiktiraf dan menghormati rakan sepakat PAS, tetapi nilai persahabatan itu tidak sesekali menghalang PAS daripada mengemukakan pendapat atau membangkang perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman PAS menyampaikan dakwah melalui politik dalam tempoh 70 tahun yang ada. PAS akan terus gagah memperjuangkan cita-citanya untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah sebagaimana yang digariskan di dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS.

DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

Ahli Jawatankuasa PAS merangkap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -