Jom hijaukan Malaysia

- Advertisement -

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, YB Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menjawab soalan lisan berkenaan aplikasi penghijauan Malaysia di Dewan Rakyat pagi semalam.

Apakah program penghijauan ini? Ada kaitan dengan warna hijau PAS itu ke? Usah silap faham ya. Program penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 5 Januari 2021 bertempat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan dilancarkan secara serentak di semua negeri.

- Advertisement -

Pelaksanaan kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara kita.

Kempen ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

Apakah sasaran kempen ini? Kempen ini mensasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri akan mengadakan program-program bagi merakyatkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dengan melibatkan seluruh penduduk Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

Apakah tema kempen ini? Tema kempen ini adalah ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life

Bagaimana mahu menyertainya? KeTSA telah membangunkan satu aplikasi mudah alih iaitu ‘Penghijauan Malaysia’ dan juga laman web khas yang boleh dicapai melalui pautan www.100jutapokok.gov.my . 

Aplikasi mudah alih dan laman web tersebut boleh digunakan oleh semua agensi kerajaan atau swasta mahupun orang awam bagi merekodkan data penanaman pokok sama ada mewakili agensi mahupun selaku individu.

Apakah pencapaian semasa kempen ini? Sehingga kini, sebanyak 23,934,620 pokok telah direkodkan ditanam melalui kempen ini. Jom kita hijaukan Malaysia dengan menanam pokok.

“Pokok Kita, Kehidupan Kita”

SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1333302954/posts/10226828909572141/

- Advertisement -