PM wanita pertama Sweden letak jawatan 12 jam selepas pelantikan

Magdalena Andersson menempa sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Sweden. (FOTO AFP)
- Advertisement -

STOCKHOLM: Perdana menteri wanita pertama dalam sejarah Sweden, Magdalena Andersson telah meletakkan jawatan beberapa jam selepas pelantikan beliau.

Andersson, 54, dari parti Sosial Demokrat telah meletak jawatan selepas kira-kira 12 jam pada Rabu (24 Nov) memegang jawatan tertinggi pentadbiran Sweden itu selepas Parti Hijau meninggalkan gabungan dua parti mereka, mencetuskan ketidaktentuan politik di negara tersebut.

- Advertisement -

Namun Andersson berkata, beliau telah memberitahu speaker parlimen bahawa beliau berharap untuk dilantik semula sebagai perdana menteri mewakili ketua kerajaan parti tunggal, lapor CNN.

Parti Hijau menarik diri daripada gabungannya dengan Sosial Demokrat selepas parlimen menolak rang undang-undang bajet gabungan itu.

“Saya telah meminta untuk dilepaskan daripada tugas saya sebagai perdana menteri,” kata Andersson pada sidang akhbar. 

“Saya bersedia menjadi perdana menteri dalam kerajaan parti tunggal, Sosial Demokrat,” tambahnya.

Sementara Parti Hijau dalam suatu kenyataan berkata, ia akan menyokong Andersson dalam sebarang undian pengesahan baharu di parlimen, manakala Parti Pusat berjanji untuk berkecuali, yang pada praktiknya sama dengan menyokong pencalonannya. Parti Kiri juga berkata ia akan memberikan sokogan, lapor pula Euronews. 

Terdahulu, cadangan bajet kerajaan telah ditolak memihak kepada cadangan yang dibentangkan oleh pembangkang yang termasuk populis sayap kanan Sweden Demokrat. Pihak ketiga terbesar Sweden berakar umbi dalam gerakan neo-Nazi. Undian adalah 154-143 menyokong cadangan bajet pembangkang.

Speaker Andreas Norlen pula berkata, beliau akan menghubungi lapan pemimpin parti Sweden ‘untuk membincangkan keadaan’. Pada Khamis (waktu Sweden), beliau mengumumkan langkah seterusnya bagi parlimen 349 kerusi.

Sebelum itu menurut Andersson, kerajaan gabungan harus meletakkan jawatan jika parti memilih untuk meninggalkan kerajaan. Walaupun keadaan parlimen tidak berubah, ia perlu dibincangkan lagi.

Bajet yang diluluskan sebelum ini adalah berdasarkan cadangan kerajaan sendiri tetapi daripada 74 bilion kronor (RM34.6 bilion) yang ingin dibelanjakan kerajaan untuk pembaharuan, hanya lebih 20 bilion kronor (RM9.28 bilion) akan diagihkan semula tahun depan, lapor penyiar Sweden, SVT.

Bajet yang diluluskan bertujuan untuk mengurangkan cukai, meningkatkan gaji golongan pegawai polis dan menyediakan lebih banyak wang kepada pelbagai sektor sistem kehakiman Sweden.

Pelantikan Andersson sebagai perdana menteri telah menandakan satu kejayaan bagi Sweden, dilihat selama beberapa dekad sebagai salah satu negara paling progresif di Eropah dalam hal berkaitan jantina, tetapi masih belum mempunyai seorang wanita dalam jawatan politik teratas.

Andersson telah dipilih untuk menggantikan Stefan Lofven sebagai ketua parti dan perdana menteri, jawatan yang dilepaskan Lofven pada  awal tahun ini.

Terdahulu, sidang parlimen Sweden menyaksikan 117 ahli politik mengundi memberikan sokongan kepada Andersson, 174 menolak pelantikannya manakala 57 berkecuali dan seorang ahli politik tidak hadir.

Di bawah Perlembagaan Sweden, perdana menteri boleh dinamakan dan memerintah selagi majoriti parlimen dengan sekurang-kurangnya 175 penggubal undang-undang  tidak menentang mereka.

Pilihan raya umum Sweden akan datang dijadualkan pada 11 September 2022.-HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -