Kuatkuasakan Hiwalah: Anak isteri terbela

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan YB Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk Shaary yang telah berusaha menjunjung tinggi prinsip keadilan dan kepatuhan hukum syara’ dengan menguatkuasakan perintah Hiwalah.

- Advertisement -

Penguatkuasaan ini diharapkan dapat memastikan hak nafkah dan mutáh bekas isteri dan anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami hanya kerana anak-anak tersebut di bawah jagaan bekas isteri.

Demi melaksanakan penguatkuasaan ini, kerajaan perlu meminda Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dan telah mewartakannya pada 10 Februari 2021. Dengan pindaan ini, pemindahan wang atau hakmilikan melalui akaun bank dan institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dapat dilaksanakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merasakan perintah Hiwalah ini adalah tindakan yang tepat dalam menangani kes keculasan bekas suami dalam pemberian nafkah dan mutáh. Ia sebagai pengajaran dan peringatan kepada bekas suami untuk melaksanakan perkara yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya. Seperti mana firman Allah dalam surah At-Talaq ayat ke 7;

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan,”

“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”
“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
23 November 2021 | 18 Rabiu’lakhir 1443H – HARAKAHDAILY 23/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/142558201240597/posts/256517843177965

- Advertisement -