Dorongan untuk PAS berusaha dengan lebih gigih

PRN Melaka

- Advertisement -

BN telah menang di PRN Melaka. Itu hakikat yang kita terima. Tahniah BN. Ia bukan perlawanan yang kita gemari dalam keadaan hasrat PAS yang baru selesai Muktamar Agong dengan Tema Islam Menyatukan Ummah, terpaksa pula berebut sokongan dan undi dengan rakan dalam Muafakat Nasional. 

- Advertisement -

Saya pernah menulis bahawa yang kita tentang adalah PH. Dan benar, PH kalah kali ini. Keputusan PRN Melaka adalah dorongan untuk PAS berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik.

Prestasi PRN Melaka dengan PAS mencatatkan peningkatan yang besar dalam jumlah undi yang diterima di 7 DUN (kecuali di DUN Duyong) adalah kebangkitan yang besar. Cuma ia belum cukup untuk mencatatkan kemenangan. Nyaris menang di DUN Serkam dengan perbezaan undi cuma 79 undi.

Bacaan kita, jika dengan peratus keluar mengundi yang sangat rendah sekitar 64 peratus, dan Melaka adalah sememangnya kubu kuat Umno, peningkatan bilangan undi adalah sangat jelas untuk calon PAS yang menggunakan logo Perikatan Nasional yang kali pertama digunakan di Semenanjung Malaysia. Masih ramai yang teragak-agak dengan logo Perikatan Nasional ini yang penerimaannya diyakini lebih baik dengan berlalunya masa.

Berikut adalah perincian undian yang dimaksudkan:

a. Kuala Linggi hanya memperolehi 941 undi pada 2018, tetapi mendapat undi 1,645 pada 2021. Peningkatan undi sebanyak 704 undi.
BN pula memperolehi undi 4,812 undi pada 2018, dan pada 2021 mendapat undi 3,554 dengan berkurangan sebanyak 1,258 undi.

b. Taboh Naning: 
PAS (2018: 1,111 undi, 2021: 1,345 undi, bertambah 234 undi),
BN (2018: 3,329 undi, 2021: 3,107 undi, merosot 222 undi)

c. Durian Tunggal: 
PAS (2018: 1,391 undi, 2021: 2,208 undi, bertambah 817 undi),
BN (2018: 5,213 undi, 3,663 undi, merosot 1,850 undi)

d. Bukit Katil: 
PAS (2018: 2,237 undi, 2021: 3,715 undi, bertambah 1,478 undi), 
BN (2018: 8,067 undi, 2021: 5,748 undi, merosot 2,319 undi) 

e. Duyong: 
PAS (2018: 2,938 undi, 2021: 2,874 undi, merosot 64 undi), 
BN (2018: 4,747 undi, 2021: 4,684 undi, merosot 63 undi) 

f. Serkam: 
PAS (2018: 3,423 undi, 2021: 4,959 undi, bertambah 1,536 undi), 
BN (2018: 6,401 undi, 2021: 5,083 undi, merosot 1,318 undi)

g. Kelebang: 
PAS (2018: 2,272 undi, 2021: 3,884 undi, bertambah 1,612 undi), 
BN (2018: 6,859 undi, 2021: 5,028 undi, merosot 1,831 undi) 

h. Merlimau: 
PAS (2018: 1,028 undi, 2021: 1,622 undi, bertambah 594 undi),
BN (2018: 5,290 undi, 2021: 5,633 undi, bertambah 343 undi)

Dari pertambahan bilangan undi yang sangat jelas kepada calon PAS ini, kita dapati bahawa pengaruh BERSATU memang ada memberikan sumbangan dalam pertambahan undi PAS.

Cuma Melaka ini memang tidak kita nafikan kekuatan Umno. Dan ini adalah Pilihan Raya Negeri yang tidak bersekali dengan Pilihan Raya Umum. Senario adalah jauh berbeza dengan segala fokus jentera setiap parti difokuskan ke Melaka.

Apa yang lebih menarik adalah bagaimana pula di Pilihan Raya Umum ke-15 nanti? Di negeri-negeri lain bagaimana pula impak Perikatan Nasional yang menunjukkan kemaraan yang signifikan di kubu kuat Umno di Melaka ini. Bagaimana jika peratus keluar mengundi lebih tinggi berbanding 64 peratus di Melaka?

PRN Melaka menaikkan semangat untuk kita berusaha lebih lagi. Dan mara setapak atau dua tapak atau sepuluh tapak lagi. Sudah tentulah yang terbaik adalah jika kesepakatan dicapai agar tak perlu sesama parti berasaskan perjuangan Melayu dan Islam bertembung lagi. Terus terang cakap, tak sedap berlawan dengan rakan sendiri.

DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/402490411229783/posts/436394641172693

- Advertisement -