Rumah tidak terjual RM19.75 bilion

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Laporan Status Pasaran Hartanah Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) mendapati sebanyak 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual bernilai RM19.75 bilion di negara ini bagi tempoh suku ketiga (Julai-September) tahun ini.

Jumlah itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 2.64 peratus dalam bilangan unit dan 1.74 peratus dalam nilai berbanding suku kedua tahun ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata sebanyak 31,112 unit rumah siap dibina tidak terjual bernilai RM20.1 billion pada suku kedua (April-Jun) tahun ini.

Katanya, penurunan kadar lambakan rumah yang tidak terjual walaupun tidak ketara kerana terdapat pemaju yang menurunkan harga atau memberikan diskaun bagi membolehkan bekalan rumah sedia ada dapat dijual dalam ketidaktentuan ekonomi sekarang.

“Ini dibuktikan dengan penurunan Indeks Harga Rumah pada suku ketiga tahun ini pada 198.6 mata, berbanding suku ketiga tahun lalu pada 199.9 mata yang menunjukkan penurunan sebanyak 0.7 peratus.

“Kerajaan berharap lebih ramai pemaju dapat menurunkan harga jualan rumah bagi membolehkan lambakan rumah tidak terjual berkurang dan pasaran hartanah kediaman kembali pulih ke paras yang lebih mampan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi tempoh sehingga suku ketiga tahun ini, Dr Ismail berkata, lima negeri yang mencatat bilangan paling banyak rumah siap dibina tidak terjual ialah Johor (6,441 unit), Pulau Pinang (4,638), Kuala Lumpur (3,863), Selangor (3,376) dan Perak (2,865).

Katanya, lima negeri paling sedikit pula ialah Perlis (24 unit), Labuan (68), Kelantan (114), Putrajaya (229) dan Melaka (592).

Beliau berkata, rumah siap dibina tidak terjual turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 19 Ogos 2020.

Menurutnya, antara punca lambakan rumah tidak terjual adalah ekoran penawaran perumahan yang tidak sepadan dengan permintaan di sesuatu lokaliti, harga rumah yang tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah dan, lokasi yang kurang menarik.

Selain itu, katanya transaksi pembelian rumah sedia ada secara `subsale’ juga menyumbang kepada peningkatan rumah baharu yang tidak terjual.

Dr Ismail berkata, antara langkah utama kementerian bagi menangani masalah lebihan rumah adalah melalui Kempen Pemilikan Rumah yang menawarkan pengecualian duti setem dan pemaju yang berdaftar dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) juga memberi diskaun 10 peratus kepada pembeli rumah bernilai RM300,000 hingga RM2.5 juta.

Katanya, kementerian juga bercadang memperkenalkan peraturan kepada pemaju perumahan untuk mengemukakan kajian kebolehlaksanaan ketika memohon Kebenaran Merancang (KM) bagi mengelakkan pembangunan perumahan yang tidak relevan dengan permintaan pasaran.

“Kementerian juga melaksanakan Kajian Analisis Data Raya bagi mendapatkan gambaran sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di Malaysia sebelum pembangunan sistem yang berkaitan,” katanya – HARAKAHDAILY 23/11/21

- Advertisement -