Pelaksanaan Hiwalah menjamin hak wanita teraniaya

Juga wujudkan keadilan dalam institusi kekeluargaan

KERAJAAN, melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa menjunjung tinggi prinsip keadilan dan kepatuhan kepada hukum syara’ bagi membela dan memperkukuh institusi kekeluargaan.

Advertisement

Dalam melaksanakan perkara tersebut, kerajaan akan mengambil segala langkah yang perlu dalam memastikan setiap yang berhak, akan menerima haknya seperti yang termaktub dalam hukum syariah Islam.

Terkini, dalam memastikan hak nafkah dan mut’ah bekas isteri serta anak-anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami atau bapa, Mahkamah Syariah akan menguatkuasakan perintah Hiwalah, iaitu melaksanakan pemindahan wang atau hak milikan melalui akaun bank atau institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah, untuk digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya. 

Bagi melaksanakan perkara ini, kerajaan telah meminda Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, dan telah mewartakannya pada 10 Febuari 2021.

Melalui pindaan tersebut, perintah Hiwalah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di mana-mana peringkat boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan, berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuatkuasa.

Pelaksanaan Hiwalah ini bukanlah semata-mata untuk menghukum bekas suami atau bapa yang culas dalam melaksanakan tuntutan nafkah, sebaliknya merupakan suatu tindakan yang bersifat mendidik supaya bekas suami atau bapa tersebut tidak culas dan menunaikan tanggungjawabnya yang ditetapkan oleh syara’.

Tindakan itu juga bagi memastikan keadilan buat bekas isteri serta anak-anak yang terkesan akibat pelanggaran, atau kecuaian pembayaran nafkah ini supaya mereka dapat menerima hak mereka. 

Kerajaan akan terus melakukan inovasi dan penambahbaikan bagi memastikan keadilan buat semua pihak. Iltizam kami, supaya institusi kekeluargaan di Malaysia akan terus kukuh dan mampan demi pembangunan keluarga Malaysia yang lebih holistik, serta mampu mewujudkan keharmonian dalam komuniti, serta negara yang tercinta.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=450082180012161&id=100050311487174